MAKNA KATA HANG NI MEMANG SUKA CARI PASAL LAH YA.



''Saya mengaku terlanjur kata...'

Dungun, Terengganu: "Nak undur balik tak boleh dan saya akui apa yang berlaku memang kesilapan saya," luah ibu dua anak, Wan Nor Baizura Bharudin.

Wan Nor Baizura, 33, memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai videonya dan anak sulung, Muhammad Adam Aqish Mikhail, 8, yang teruk dikecam selepas tular di laman sosial sejak semalam.

Video itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata netizen mengecam tindakan Wan Nor Baizura dan anaknya di dalam kedai serbaneka yang dianggap biadab serta keterlaluan.

Berkongsi perasaannya, Wan Nor Baizura yang menetap di Seberang Pintasan, di sini, mengakui terkesan sejak videonya tular di laman sosial kerana bukan hanya dirinya dan anak, malah keluarganya turut terkena tempias.

"Insiden di kedai serbaneka itu berlaku pada Rabu lalu dan saya mengaku terlanjur kata.

"Bagaimanapun, salah faham antara saya dan pekerja kedai serbaneka itu serta pihak pengurusannya sudah selesai, malah kami sudah memohon maaf antara satu sama lain.

"Saya tak boleh lari kerana lebih baik berhadapan saja dengan akibatnya sebab saya yang buat salah. Permohonan maaf dibuat dengan rela hati, bukan kerana paksaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Wan Nor Baizura turut mengakui kesilapannya kerana merakam dan membuat siaran langsung mengenai kejadian itu hingga video berkenaan tular.

"Saya bukan mahu jadikan anak saya seperti dalam kisah Anakku Sazali cuma sebagai ibu, saya mahu pertahankannya.

"Kucing pun sayangkan anak, inikan saya manusia, namun apa yang berlaku buat saya sedar kesilapan diri.

"Jujurnya, saya tersentap membaca komen segelintir netizen kerana ada yang mengatakan anak saya akan jadi penagih, tetapi saya cuba bersabar dan anggap ini sebagai ujian. Saya akan berusaha mendidiknya dengan lebih baik," katanya yang mencari rezeki sebagai peniaga alat kosmetik di pasar malam.

Sementara itu, berhubung rakamannya di restoran makanan segera yang tular hari ini, Wan Nor Baizura berkata, ia adalah video lama.

"Seingat saya, video itu dirakam pada 2020. Ia tular semula kerana ada netizen 'mengorek' video lama saya.

"Saya harap orang ramai tidak mengaitkan kesilapan saya dengan penduduk di tempat saya menetap.

"Bukan hanya saya dan keluarga, malah penduduk kampung turut terkena tempiasnya. Sedangkan, kesilapan datang daripada saya dan saya harap netizen tidak samakan sikap saya dengan orang Dungun kerana ramai yang baik belaka," katanya.

Menurutnya, dia tidak boleh mengawal mulut netizen daripada mengecam , tetapi ada beberapa individu cuba mengajak orang memboikot perniagaannya.

Katanya, seandainya mereka berterusan mengaibkan dan mencalarkan maruah hingga perniagaannya terjejas, dia akan mengambil tindakan undang-undang.

Sementara itu, suaminya, Mohd Hamizam Abdul Hakim, 38, tahu mengenai kecaman netizen terhadap isteri dan anaknya, tetapi menganggapnya sebagai ujian Allah buat keluarganya.

"Setakat ini, kami mampu berdepan dengan kecaman itu dan semoga semuanya jadi lebih baik selepas ini," katanya.

Sumber: Harian Metro

Oleh: Redzuan Muharam

redzuan.muharam@hmetro.com.my