Apakah Dasar Parti Jadi Pilihan Pengundi?


 

Oleh: Hassan Abdul Karim



Pilihan Raya Negeri Johor ini (PRN) bukan suatu pilihan raya kecil. PRN adalah satu pilihan raya umum untuk membentuk Kerajaan Negeri Johor bagi tempoh lima tahun.

Soal siapakah calon yang diketengahkan oleh sesebuah parti itu penting. Perlu diambil kira untuk pengundi membuat pilihan. Manifesto yang diumumkan oleh sesebuah parti yang bertanding itu juga penting.

Bagaimanapun yang lebih penting diteliti oleh para pengundi yang bijak dan bermaklumat ialah apakah dasar parti-parti yang bertanding.


Buat pilihan terbaik

Soal dasar parti dari segi ekonomi, sosial dan politik perlu dinilai dan diberi pertimbangan. Ini adalah kerana pembentukan kerajaan, pengurusan sebuah kerajaan berkait rapat dengan dasar parti yang beroleh kemenangan majoriti pada 12 Mac 2022 ini.

Sebagai analoginya, ialah ibarat sebatang sungai. Jika air di hulu sungai keruh dan tercemar maka sukar untuk mendapat air yang jernih dan boleh dibuat air minuman di hilir sungai.

Ada seminggu lagi untuk rakyat Johor membuat pilihan yang muktamad dalam PRN ini. Bagi menghormati rakyat Johor dan para pengundi, penulis tidak berhajat untuk mengajar dan memandai-mandai menyuarakan propaganda murahan meminta pengundi-pengundi memilih sesuatu parti tertentu.

PRN Johor ini satu bukti bahawa demokrasi masih wujud di negara kita, mungkin tidak sempurna seperti yang kita harapkan. Tetapi kita bermula dengan apa yang kita ada dan bergerak ke hadapan. Reformasi pilihan raya perlu diteruskan pada masa-masa hadapan.

Penulis mengemukakan tiga dasar yang perlu dinilai oleh rakyat Johor. Mungkin senarai 3 dasar itu tidak dipersetujui oleh pihak lain, itu tidak mengapa. Negara kita negara demokrasi dan setaip warganya berhak menyuarakan fikirannya secara bebas.

Utamakan anti rasuah

Dasar Pertama: Adakah parti itu parti yang eksklusif untuk sesuatu kaum dan sesuatu agama tertentu sahaja? Adakah ini pilihan pengundi? Atau pengundi ingin mengundi parti politik yang dasarnya menjaga kepentingan rakyat dari berbilang kaum dan berbilang agama dan mempunyai impian untuk membina sebuah negara bangsa?

Dasar Kedua: Rakyat Johor adalah pengundi yang bermaklumat. Mereka mengikuti berita tentang apa yang berlaku dalam negara tentang skandal rasuah dan salah guna kuasa. Jadi adakah pengundi yang rasional dan bertanggungjawab akan memilih parti politik yang pemimpin mereka terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa? Adakah itu pilihan rakyat Johor? Atau mereka akan memilih parti politik yang dasarnya jelas untuk melakukan agenda perubahan atau reformasi terhadap institusi-institusi penting negara seperti SPRM, PDRM dan SPR?

Dasar Ketiga: Soal ekonomi menjadi penting dalam PRN Johor kali ini. Pengundi-pengundi boleh memilih sama ada parti politik yang mempunyai rekod dasar ekonomi yang memihak kepada golongan syarikat-syarikat besar dan kapitalis-kapitalis kroni mereka atau memilih parti politik yang dasar ekonominya memihak kepada kepentingan rakyat majoriti golongan bawahan B40 dan golongan menengah M40.

Pilihan di tangan pengundi. Anda dapat kerajaan yang anda pilih sendiri.



____________________________________________________Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang