Peluncuran aplikasi ADIL: Pendigitalan pertama 1 juta rakyat di seluruh negara






Pelancaran aplikasi ADIL bagi pemilihan jawatan jawatan dalam KEADILAN tahun ini secara atas talian mencipta sejarah sebagai proses pendigitalan pertama di Malaysia melibatkan 1 juta rakyat di seluruh negara.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam majlis peluncuran aplikasi ADIL di Ibu Pejabat KEADILAN, di Petaling Jaya, petang ini.

Menurut beliau, mengkesampingkan faktor ketersambungan internet yang masih kurang stabil di luar bandar, aplikasi ADIL akan mendidik kesemua rakyat dari pelbagai tingkat kehidupan untuk mengundi jawatan berkaitan politik secara atas talian buat pertama kalinya.

"Kita sedar hadapi masalah kerana ketersambungan internet biar pun diuar uar (kemampuan internet negara sejak) bertahun tahun tetapi sebenarnya tidak menjadi kenyataan.

"(Bagaimanapun aplikasi ini) ....guna perkembangan digital dan bagi saya merupakan proses pendidikan digital yang pertama yang pernah dilaksanakan secara menyeluruh kepada 1 juta rakyat. Juga kepada pelbagai kategori dari usia tua, muda, bandar, desa, semua dilatih gunakan aplikasi ADIL. Ini saya anggap satu kemajuan

"Proses parti ini (dianggap) bukan sahaja persaingan kuasa tetapi kematangan, pendewasaan juga pendidikan dalam bidang teknologi baharu seperti digitalisasi sebagaimana yang disebut sekarang," katanya.

Bagaimanapun, menurut Anwar, menyedari masalah ketersambungan internet yang bermasalah di sesetengah kawasan maka KEADILAN juga mengadakan cara pengundian hibrid, yang mana sesetengah kalangan sukar untuk melakukan secara atas talian akan dibenar menggunakan cara undian fizikal

Namun, katanya, kepada barisan pimpinan di semua peringkat, mereka sewajarnya menggunakan aplikasi ADIL agar hanya anggota rentan sahaja yang mengundi secara fizikal.

"Saya dukung strategi yang punya kemudahan, iaitu barisan pimpinan mesti memilih aplikasi ADIL kerana memudahkan pelaksanaan bagi kalangan yang tidak punya kemudahan.

"Yang lain (golongan rentan) diberi kemudahan mengundi atas kertas.

"Kalau yang ada kemudahan, memilih cara mudah (undi kertas) maka kos melambung, masalah keselamatan, dalam pengundian itu mungkin berlaku pergaduhan (sebagaimana yang lepas)

"Untuk aplikasi ADIL arahan jelas, semua barisan pimpinan, puluhan ribu diwajibkan guna aplikasi," katanya.

Selain itu, Anwar turut menjelaskan mengapakah beliau berkeras mahu mengadakan pemilihan dalam kucar kacir pilihan raya negeri dan kemungkinan berlakunya pilihan raya umum.

Katanya, KEADILAN tidak wajar menunda proses demokrasi sebagaimana parti parti politik besar yang lain melakukannya.

Di samping itu, kata Anwar, beliau juga mahu memberi peluang kepada 1.1 juta ahli parti menentukan jawatan jawatan utama yang lompong setelah ditinggalkan oleh pengkhianat parti.

"Peruntukan perlembagaan, kuasa ROS (pendaftar pertubuhan) membolehkan kita tangguh kalau ada alasan darurat atau pilihan raya umum.

"Sebaliknya saya mempertahankan kalau parti ini mempunyai prinsip demokrasi dan menghormati mandat ahli maka kita harus bergegas melaksanakan pemilihan.

"Dengan pengkhianatan Langkah Sheraton dan peninggalan kepimpinan parti, ada lompongan dalam kepimpinan selain presiden, tentunya ada naib tetapi ada beberapa jawatan penting tidak diisi. Saya memilih utuk tidak mengisi kerana berfikir elok ahli yang memilih.

"Saya beri hujah yang sangat kuat. Pertama, parti demokratik mesti menghormati prinsip ini, bukan tangguh pemilihan. Kedua, ada kekosongan lompongan ini wajib diisi untuk proses regenerasi dan peluang generasi lebih muda menyertai pimpinan utama," katanya lagi.

 

 

No comments: