Tumpu isu rakyat, PH tak perlu namakan calon MB Johor
KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) dianggap mempunyai peluang lebih cerah untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya tidak terikut ikut strategi BN atau PN yang menamakan calon Menteri Besar (MB).
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, strategi menamakan calon MB hanya akan dilihat pengundi sebagai ‘berebut kuasa’ dan kurang mempedulikan rakyat.
“Kalau PH hendak menang PRN Johor, saya nasihatkan jangan taksub sangat untuk menamakan siapa calon MB dari PH.
“Bersikap sederhana, tidak angkuh dan tidak sombong. PH sekarang dalam PRN Johor adalah positif.
“Berlumba-lumba menamakan calon MB seperti dalam PRN Melaka hanya menyebabkan rakyat menyampah dengan mana-mana parti yang berbuat demikian.
“Nasib baik KEADILAN khususnya dan PH amnya dalam PRN kali ini tidak terjebak dalam sindrom “burung terbang, dipipiskan lada”,” katanya.
Tegas Hassan, rakyat Johor ‘meluat’ dengan mana-mana parti politik yang bongkak dan mengutamakan strategi untuk merebut kuasa politik.
Dengan awal-awal menamakan calon MB parti politik dilihat menonjolkan kerakusan kuasa dan tidak mengutamakan masalah rakyat.
“Apa sebenarnya yang patut dilakukan? PH perlu secara jujur menjadi pembela rakyat, jadi Suara Rakyat. Calon-calon PH dari KEADILAN, Amanah dan DAP perlu menjadi jurubicara kepentingan rakyat.
“Rakyat Johor hendak tahu satu perkara penting. Mereka ingin tahu apakah rancangan konkrit yang tersusun, yang praktikal, yang realistik dan efektif untuk mengatasi masalah kos sara hidup yang tinggi di Johor sekarang.
“Rakyat Johor tidak berminat hendak tahu siapa calon MB dari parti A, parti B atau parti C.
“Sebaliknya, rakyat mahu lihat dan hendak dengar apakah jalan penyelesaian kepada masalah utama mereka dalam pilihan raya ini iaitu isu kos sara hidup,” katanya lagi.
Tambah Hassan, harga barang keperluan harian terutama makanan yang terlalu tinggi sekarang ini telah tidak tertanggung lagi oleh rakyat biasa. Dan itulah isu sebenar pilihan raya, bukannya siapa calon MB.