PULAK...MAIN TEMBAK TEMBAK PULAK...KAH...KAH..KENA BINATANG APA GAMAKNYA ?

 


‘Saya tembak dalam gelap’, Hadi nafi tuduh Umno langgar piagam MN






Abdul Hadi Awang menegaskan dakwaan piagam MN telah dilanggar tidak ditujukan terhadap Umno.

PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menafikan kritikannya bersabit isu Muafakat Nasional disasarkan terhadap Umno, sebaliknya ditujukan kepada individu tertentu dalam parti itu.

Beliau bagaimanapun tidak mahu menamakan pemimpin Umno yang dimaksudkan, pada sidang media yang disiarkan di Facebook.

“Saya tembak dalam gelap…kalau kena, kenalah siapa dia,” kata Hadi yang sebelum ini dilaporkan dikritik oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Hadi sebelum ini mempersoalkan kengganan pucuk pimpinan Umno untuk menerima masuk Bersatu dalam MN. Antara lain, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai bercanggah dengan piagam gabungan itu.

Tuduhan Hadi itu mengundang respon keras daripada Zahid. “Seseorang yang bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah,” kata Zahid minggu lalu.

Pada sidang medianya hari ini, Hadi menafikan kritikannya itu terhadap Umno.

“Saya tidak kata Umno…saya kata ada orang langgar (piagam MN). Majlis Kerja Tertinggi Umno bukan seorang – ramai,” kata Hadi.

Dalam pada itu, Hadi menambah Muafakat Nasional masih boleh diselamatkan, meskipun beliau dilaporkan sudah lama tidak bersemuka dengan Zahid.

Sebelum ini sumber Umno mengesahkan dua pemimpin parti Melayu terbesar itu sudah lama tidak mengadakan pertemuan, dan tidak bercadang berbuat demikian dalam jangka waktu terdekat.

Sumber PAS turut mengesahkan perkara sama.

Sumber lain berkata kedua-dua pemimpin itu memang berpeluang untuk berjumpa bagi meleraikan masalah MN semasa sidang Parlimen namun tidak berbuat demikian.

“Dekat Parlimen ada la (Zahid-Hadi) jumpa berselisih macam tu…tapi jumpa macam tu saja, tak ada la duduk bersama bincang hala tuju parti (masing-masing),” kata sumber itu.

Dalam pada itu, Hadi berkata hubungannya dengan Zahid ‘masih hangat’.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Zahid dilihat dingin.

“Saya rasa masih hangat. Dekat Parlimen saya sama-sama duduk dekat-dekat.

“Dalam Parlimen boleh lihat sebelah saya Muhyiddin Yassin, Dr Mahathir Mohamad, Najib Razak dan Zahid.

“Saya duduk tengah-tengah jadi pendamai semua pihak” katanya.