Walaupun hubungan kerjasama tiga parti – UMNO, Pas dan Bersatu – diketahui amat sukar untuk diwujudkan dalam PRN Melaka, kelompok kluster menteri dalam UMNO nampaknya merupakan golongan paling risau dan gelisah jiwa mereka.
Antaranya ialah Shahidan Kassin dan Annuar Musa.
Luahan mereka berdua di laman sosial masing-masing adalah gambaran nyata perkara itu.
Mereka berdua ini bukan ahli MT UMNO dan bukan juga orang yang bersama kepimpinan UMNO yang diterajui Ahmad Zahid Hamidi.
Ketika Mahiaddin Md Yasin jadi Perdana Menteri, mereka pro kepada Bersatu dan kini setelah Ismail Sabri jadi pengganti, mereka ini nampaknya masih juga condong ke arah yang sama.
Mereka berdua ini tetap mahu UMNO, Pas dan Bersatu saling bekerjasama, baik dalam PRN Melaka atau PRU15 serta tidak setuju dengan keputusan parti enggan bekerjasama dengan Bersatu.
Kenapa mereka begitu risau dan gelisah jika kerjasama tidak dapat diwujudkan?
Bukankah parti sudah membuat ketetapan yang jelas, bukan saja dalam MT, malah melalui Perhimpunan Agung UMNO juga?
Mengapa tidak mahu dan sukar akur dengan keputusan parti?
Walaupun mereka bukan ahli MT, tetapi pernah duduk sebagai ahli MT, sepatutnya lebih mudah memahami bagaimana perjalanan, pengurusan serta disiplin sebagai ahli parti.
Mereka ini selamatkan jawatan sendiri atau nak selamatkan masa depan UMNO?
Realitinya, UMNO sudah membuat keputusan enggan bekerjasama dengan Bersatu, sebaliknya hanya ingin meneruskan hubungan dengan Pas, tetapi Pas akhirnya memberi gambaran ia menolak hasrat UMNO itu apabila memutuskan akan menggunakan lambang PN dalam PRN Melaka nanti.
Dengan itu, kebarangkalian paling mungkin ialah UMNO akan kekal bersama BN, manakala Pas dan Bersatu bergabung menggunakan lambang PN.
Ketiga-ketiga parti tersebut adalah parti dalam kerajaan Keluarga Malaysia yang akan berdepan PH sebagai pencabar ketiga.
Ertinya, pertandingan tiga penjuru sudah tidak dapat dielakkan lagi.
Tiga parti Melayu yang bersama dalam kerajaan, tetapi berlaga sesama sendiri atas tiket BN serta PN dan ini menunjukkan Keluarga Malaysia adalah sebuah kerajaan yang bermasalah serta huru-hara. –
ShahbudinHusin 04/11/2021.