Oleh RAYMOND LUI / November 5, 2021
Keputusan kerajaan
negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menyegerakan Pilihan
Raya Negeri (PRN) Ke-12 dilihat telah menutup ruang seramai 125,000 pengundi
muda di negeri ini.
Ahli Parlimen Kuching,
Dr Kelvin Yii berkata ia berikutan penarikan Perintah Darurat di Sarawak lebih
awal seperti yang dijadualkan sehingga 2 Februari tahun depan.
“Ini bukan sahaja tidak
menghormati, tetapi juga melulu dan tidak bertanggungjawab kerana ia sengaja
melucutkan peluang lebih daripada 125, 000 belia kita untuk menyertai PRN12
yang akan datang.
“Hakikatnya, kami mempunyai
kelebihan untuk memerhati dan membuat penilaian yang sewajarnya tentang potensi
penularan akibat Covid-19 pada PRN Melaka nanti.
“Ternyata
pertimbangan politik telah mengatasi kebimbangan kesihatan pada PRN12 kelak,
“ujarnya dalam satu kenyataan.
Dr
Kelvin menjelaskan sebenarnya tiada justifikasi rasional untuk pemimpin GPS
mendesak Yang di-Pertuan Agong menarik balik Darurat di Sarawak yang
dijadualkan berakhir dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.
Malah,
tegasnya lagi melihat kepada apa yang berlaku pada PRN Sabah lalu, peningkatan
kes Covid-19 adalah begitu membimbangkan.
“Ingat
pada masa ini situasi Covid-19 kita masih jauh dari ideal dengan kadar yang
masuk di wad kecemasan (ICU) serta kadar kematian bagi setiap penduduk Sarawak
adalah antara yang tertinggi di negara ini.
“Ini adalah sangat berbahaya dan
seolah-olah PRN12 nanti bakal menjadi ‘peristiwa penularan yang paling hebat’.
“Ini
juga mungkin membawa kita kembali ke masa di mana doktor perlu memilih siapa
yang perlu dirawat dan siapa yang tidak dirawat lagi dan dalam senario yang
lebih teruk, boleh mengakibatkan lebih banyak kematian,” soal Dr Kelvin.
Justeru,
katanya adalah tidak bertanggungjawab untuk meletakkan barisan hadapan dalam
situasi sedemikian yang bermati-matian mempertahankan nyawa pesakit.
Pada
masa sama, beliau turut mendakwa beberapa pemimpin GPS telah tampil untuk
mewajarkan tindakan sedemikian termasuk menyatakan ini adalah untuk menegakkan
demokrasi sedangkan apa yang mereka lakukan sekarang adalah penindasan pengundi
kerana ia bukan sahaja menafikan pengundi muda Undi18 tetapi akan mengadakan
pilihan raya dalam pandemik masih belum terkawal.
“Dengan
demikian ia juga akan mengakibatkan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah
sekali gus bertentangan dengan semangat demokrasi di negara ini.
“Bagi
GPS , kebimbangan seperti ini tidak diambil kira. Apa yang kelihatan lebih
penting ialah kelebihan politik yang mungkin mereka miliki, walaupun dengan
mengorbankan keselamatan dan kesihatan rakyat di Sarawak,” kata Dr Kelvin.