J Shyamalan (bersinglet hitam) ditegur kerana tidak memakai pelitup muka di sebuah gerai nasi lemak di Taman Desa, Kuala Lumpur Ahad lalu. (Gambar Facebook Lyn Centino)
PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam lima hari lalu.
J Shyamalan, 33, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah gerai nasi lemak di Jalan Desa Bakti, Taman Desa, Kuala Lumpur, kira-kira 10.30 pagi 18 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 kerana gagal mematuhi SOP Covid-19.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM50,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.
Majistret Wong Chai Sia menetapkan ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.
Di mahkamah sama, Shyamalan turut mengaku tidak bersalah kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Cherrilyn De Centino di tempat dan masa sama.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Wong menetapkan tambahan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin.
Peguam John Das mewakili tertuduh, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar.
Majistret menetapkan kedua-dua kes disebut pada 24 Ogos ini. Tertuduh dibebaskan selepas membayar wang jaminan itu.
Satu laporan polis dibuat selepas tertuduh kerana memarahi penjual nasi lemak dan seorang pelanggan yang memintanya memakai pelitup muka.
Dalam satu klip video tular, tertuduh yang memakai singlet hitam dan berseluar pendek dilihat mencemuh seorang lagi pelanggan berbaju jingga supaya menghubungi polis bagi melaporkan dia tidak memakai pelitup muka.
Selasa lalu, polis mendapatkan perintah reman dua hari terhadapnya sebelum dia didakwa dengan dua pertuduhan hari ini.