Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim menyelar kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung dua
pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM1 juta terhadap Ahli Parlimen Muar,
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Presiden
PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berpendapat PN mengeksploitasi
kuasa untuk menakutkan pihak pembangkang menjelang sidang Parlimen minggu
depan.
“Setiap
kali sidang Parlimen semakin mendekat, kerajaan ini (PN) akan menggunakan atau
memperalat apa saja aparat yang ada untuk membuli ahli-ahli Parlimen,
berkemungkinan kerana gentar sekiranya undi tidak percaya dilangsungkan,”
tegasnya.
Menerusi kenyataan hari ini,
beliau menyifatkan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) ke atas Syed Saddiq sebagai berbentuk ancaman politik seperti yang
dibangkitkan oleh beliau dan pembangkang mutakhir ini.
Anwar
berpendapat aspek penegakan hukum di negara ini telah rosak apabila ahli
politik yang rapat dengan kerajaan boleh bebas tanpa hukuman manakala
pemimpin-pemimpin pembangkang serta pendukung mereka dikenakan dengan pelbagai
pendakwaan terpilih.
“Babak
terkini ini terus merobek kepercayaan dan keyakinan para pelabur terhadap
Malaysia dalam keadaan negara hari ini yang kelam dan haru biru dengan
ketidakabsahan pemerintah.
“Ia
menggambarkan bahawa betapa badan atau jabatan penguatkuasaan hanya mengikut
telunjuk politik,” tegas Anwar lagi.
Untuk
rekod, Syed Saddiq yang juga Pengasas bersama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)
hari ini mengaku tidak bersalah atas dua
pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM1 juta.
Bekas Menteri Belia dan
Sukan itu didakwa atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang parti politik
ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada),
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).