Jangan mimpi, pintu Umno dah tutup buat Bersatu, Shahidan diberitahu

 

Semalam, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim mencadangkan agar Umno bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan Bersatu, namun kenyataan itu disanggah ahli MKT Umno, Puad Zarkashi.

PETALING JAYA: Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengecam kenyataan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim yang mencadangkan agar parti itu bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan Bersatu.

“Umno memang mahu bekerjasama dengan mana-mana parti politik Melayu tetapi bukan dengan Bersatu. Dengan Bersatu sudah tutup pintu,” kata Puad Zarkashi.

“Keputusan telah pun dibuat dalam PAU 2020 dan mesyuarat MKT pada 7 Julai yang lalu.

“Maka Shahidan tak perlu bermimpi. Umno boleh bekerjasama dengan parti lain, termasuk PAS dan mereka di Sabah dan Sarawak.”

Semalam, Shahidan dilaporkan berkata, parti itu patut bekerjasama dengan Bersatu dan PAS jika ingin menang selesa pada pilihan raya akan datang (PRU15).

Beliau mempersoalkan sama ada Umno akan bekerjasama dengan PKR dan DAP, tetapi bukan dengan Bersatu dan PAS.

Keengganan bekerjasama dengan Bersatu bukan bermaksud Umno ingin bergerak solo, kata Puad.

Namun tambahnya: “Tidak payah gunakan isu ‘No Anwar No DAP’. Itu hanya muslihat supaya Umno menjadi defensif sedangkan tidak pernah ubah keputusan.

“Patut Shahidan jawab kenapa dia boleh berlembut dengan Bersatu sedangkan timbul dakwaan DAP telah ada persetujuan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) dengan kerajaan PN?

Beliau mendakwa perkara itu didedahkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat MKT Umno.

Katanya, Shahidan dan beberapa individu lain harus berhenti membenarkan diri mereka digunakan oleh Bersatu yang kini berada dalam kedudukan sukar setelah Umno menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Tindakan Muhyiddin melantik TPM dalam kalangan ahli Umno menunjukkan PN memerlukan Umno untuk terus berkuasa, tambahnya.

“Bukan Umno yang perlukan PN,” katanya.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Wan Agyl Wan Hassan juga “menghentam” Shahidan dengan berkata, beliau “tiada sebarang erti” buat parti itu.

“Ini individu yang menjadi ketua penyokong PN, walaupun partinya Umno dan BN (Barisan Nasional), bukan sebahagian daripada PN,” kata Wan Agyl.

Sebagai bekas menteri besar dan bekas menteri, Shahidan perlu sedar bahawa BN mempunyai pengalaman yang cukup dalam mentadbir negara, katanya.

“Saya ingin tanya Shahidan, menteri PN mana yang telah menyumbang dalam melawan Covid-19.

“Menteri BN yang banyak buat kerja,” katanya.

Tambahnya, PN yang memerlukan BN dan Ahli Parlimennya untuk mengharungi krisis ini.

“Kerajaan ini gagal, itu hakikatnya. PN nampaknya perlu talian hayat dan Umno tidak perlu turut,” katanya.

Penganalisis Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura baru-baru ini berkata, peluang PN memenangi PRU15 tipis kerana tidak mendapat sokongan.

Katanya, Bersatu bukan sahaja akan ditolak oleh penyokong PH tetapi juga harus bersaing dengan Umno yang kini memiliki momentum yang tidak dimilikinya tiga tahun lalu.

Seorang penganalisis politik lain, Mustafa Ishak berkata, tiada jaminan BN boleh menang sendiri disebabkan perpecahan dalam Umno.

“Semua menteri dan timbalan menteri BN menyokong Muhyiddin, bertentangan dengan pendirian Umno dan menurut laporan, kebanyakan Ahli Parlimen BN juga tidak setuju dengan pendirian parti itu,” tambahnya.

Beliau mengakui bahawa Umno lebih kuat daripada Bersatu tetapi katanya, BN dan PN saling memerlukan untuk membentuk kerajaan yang kuat dan stabil, terutamanya apabila PAS bersama PN.

“Berbeza jika PAS meninggalkan PN dan bergabung dengan Umno,” katanya.

“Tetapi jika parti-parti Melayu ingin bentuk kerajaan yang kuat, mereka perlu mengetepikan perbezaan dan berunding bagi mewujudkan aturan politik permuafakatan yang stabil,” katanya.