KENYATAAN MEDIA ANWAR IBRAHIM

 Kenyataan Media

22 Julai 2021


Saya terpanggil untuk menyatakan pendirian berhubung pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas YB Syed Saddiq yang berbentuk ancaman politik di mana saya dan rakan-rakan lain turut bangkitkan mutakhir ini. 


Untuk memungkinkan negara hukum (rule of law), undang-undang mesti dikuatkuasakan secara objektif. Bilamana politisi atau individu-individu yang rapat dengan koridor kuasa boleh bebas tanpa hukuman manakala pemimpin-pemimpin pembangkang serta pendukung mereka diajukan dengan pelbagai pendakwaan terpilih, maka ternyata aspek penegakan hukum di negara ini telah rosak.  


Babak terkini ini terus merobek kepercayaan dan keyakinan para pelabur terhadap Malaysia dalam keadaan negara hari ini yang kelam dan haru biru dengan ketidakabsahan pemerintah.  


Ia menggambarkan bahawa betapa badan atau jabatan penguatkuasaan hanya mengikut telunjuk politik, dan ini perkembangan yang tidak baik buat negara kerana ia secara tidak langsung memberi isyarat kepada bakal-bakal penjenayah untuk mencipta hubungan yang lebih dekat dengan orang-orang politik yang berkuasa bagi mendapat perlindungan dari pendakwaan. 


Setiap kali sidang Parlimen semakin mendekat, kerajaan ini akan menggunakan atau memperalat apa saja aparat yang ada untuk membuli ahli-ahli Parlimen, berkemungkinan kerana gentar sekiranya undi tidak percaya dilangsungkan. Usaha-usaha jelek ini akan berterusan tanpa henti selagimana mereka masih lemah dan tidak punya majoriti yang cukup di Parlimen. 


Saya juga telah dimaklumkan oleh beberapa ahli-ahli Parlimen bahawa pemerintah turut menggunakan rasuah dan ugutan untuk mendukung kerajaan gagal mereka dengan kedudukan dan perlindungan dari pendakwaan sebagai habuan. 


Masa dan ketika tatkala YB Syed Saddiq didakwa ini sangat membingungkan dan menampakkan wujudnya salahguna kuasa. Saya menggesa agar siasatan mesti dijalankan dengan telus dan profesional. Saya turut mahu beritahu pemimpin-pemimpin PN termasuk Perdana Menteri untuk hentikan salahguna kuasa serta terima hakikat secara bermaruah bahawa dukungan terhadap mereka semakin berkurangan di Parlimen. 


ANWAR IBRAHIM


Kredit foto: BH