Tindakan Peguam Negara yang tidak secocok dengan tanggungjawab
beliau sebagai penasihat undang-undang negara kepada Yang di-Pertuan Agong
mewajarkan beliau melepaskan jawatannya.
Sehubungan itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyokong
cadangan dan laporan media yang mensyorkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong menerima nasihat guaman sendiri melalui badan seperti Majlis Privi (Privy
Council) kerana pendirian Peguam Negara yang diragui.
"Isu ini timbul susulan siri kenyataan umum Peguam Negara,
termasuk yang terkini berkaitan isu penzahiran sokongan terhadap Perdana
Menteri serta kenyataan 25 Jun lalu, berhubung kuasa-kuasa Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong dan nasihat Jemaah Menteri yang telah melampaui batas
adab, kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu.
"Walaupun Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan
“Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah
Menteri, atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara perkara
undang-undang…”, namun timbul tanda tanya apakah Peguam Negara kini boleh
menjalankan fungsi tersebut secara tidak berat sebelah (‘impartial’).
"Apatah lagi apabila kita diingatkan bahawa terdapat kes-kes
berprofil tinggi tertentu seperti Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang ditahan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 Mei lalu namun sehingga
hari ini tiada arahan pendakwaan dari Peguam Negara.
"Ini memang luar biasa apabila seseorang itu ditahan lebih
sebulan yang lalu namun masih belum didakwa, dan semestinya menimbulkan tanda
tanya sama ada wujud motivasi lain dengan melengahkan pendakwaan di
mahkamah," kata mereka dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya Peguam Negara enggan
melepaskan jawatannya, dan terus menyalah guna fungsi beliau maka seharusnya
Peguam Negara dipecat.
"Majlis Presiden mengulangi pendirian Peguam Negara perlu
dipecat, atau beliau sendiri meletakkan jawatan secara terhormat kerana beliau
dilihat tidak lagi mampu menjalankan tugas rasminya secara profesional dan
berkecuali dalam menegakkan undang-undang, termasuk dalam isu memberi nasihat
kepada Seri Paduka Baginda," kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk
Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim
Guan Eng.