Suspek maut selepas
terbabas di kawasan Bedong, Sungai Petani dalam usaha melarikan diri selepas
dikejar polis pada Khamis. -FOTO PDRM KEDAH
ALOR
SETAR: Suspek yang menconteng dinding
tembok Istana Anak Bukit dan menumbuk seorang anggota polis di Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Kota Setar maut selepas terbabas di kawasan Bedong, Sungai
Petani dalam usaha melarikan diri selepas diekori polis pada Khamis.
Ketua
Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan yang dijalankan
mendapati lelaki berkenaan dipercayai terlibat di dalam kedua-dua kejadian ini.
Menurutnya, lelaki berusia
30-an itu telah membuat perbuatan khianat dengan menconteng di bahagian tembok
dinding Istana Anak Bukit dengan tulisan ‘SAMR’ pada jam 3 petang Khamis.
"Siasatan juga mendapati suspek
menggunakan motosikal berwarna hitam. Ekoran dari kejadian tersebut, pasukan
operasi telah memulakan operasi mengesan suspek.
"Seterusnya pada jam lebih kurang 5.00
petang, suspek tersebut dipercayai telah pergi ke IPD Kota Setar dan menumbuk
seorang anggota polis yang sedang bertugas.
"Beliau turut membaling sebuah objek
disyaki pistol mainan lalu melarikan diri dengan menggunakan sebuah motosikal
warna hitam.
"Anggota polis tersebut telah mengalami
kecederaan di bahagian muka," katanya dalam satu kenyataan pada malam
Khamis.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, usaha
mengesan suspek diteruskan dan polis telah menjumpainya di kawasan Gurun, di
Sungai Petani dan lelaki itu melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak
berkuasa.
"Pasukan polis terus mengekori suspek dan
telah memberi amaran untuk berhenti namun dia tidak berhenti dan terus
melarikan diri.
"Semasa dalam usaha melarikan diri,
motosikal yang ditunggang laju oleh suspek telah terbabas di kawasan Bedong,
Sungai Petani dan telah mengalami kecederaan.
"Polis telah menghubungi hospital untuk
mendapatkan bantuan ambulan. Apabila ambulan sampai, pegawai perubatan yang bertugas
telah mengesahkan suspek telah meninggal dunia di tempat kejadian,"
ujarnya.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah
Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat, Seksyen 332 Kanun
Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata
1960 memiliki senjata tiruan.