Bina hospital lapangan, guna strategi perang lawan Covid 19 - Dr Lee Boon Chye

 


Jangkitan Covid 19 yang semakin memburuk di negara ini menunjukkan ketidakseriusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam membendung pandemik.



Bagi mantan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Lee Boon Chye, perang melawan Covid harus berada dalam skala pertempuran sepenuhnya.



Katanya, negara tidak lagi boleh bergantung kepada kemudahan hospital sedia ada dan memerlukan hospital lapangan yang boleh menampung sejumlah besar pesakit baharu yang bertambah setiap hari.



"Kita boleh lihat dalam isu kedudukan hospital kerajaan di Lembah Klang, ia memang genting dan kegunaan katil melebihi seratus peratus akibat Covid-19.



"Sepatutnya perancangan lebih awal harus diusahakan untuk menambah doktor, jururawat dan tenaga kerja yang lain di samping membina hospital sementara besar-besaran seperti ‘field hospital’ semasa perang.



"Di samping itu kawalan pandemik Covid perlu dipertingkatkan. Jelas sehingga hari ini perisytiharan Darurat tidak membantu, bahkan pandemik makin teruk," katanya kepada Suara Keadilan.



Dalam pada itu, Boon Chye yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN menempelak pemimpin kerajaan PN yang saban hari berkata keadaan terkawal.



Hakikatnya, menurut beliau, keadaan sudah tidak terkawal dan darurat tidak sebagaimana digambarkan pada waktu diumumkan Januari lalu, boleh menggunakan lebih banyak kemudahan awam dan swasta untuk mengadapi Covid.



"Kegagalan kawalan pandemik jelas walaupun setelah enam bulan darurat dan enam minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).



"Jumlah kes semakin meningkat dan sudah melepasi 10,000 ribu kes sehari, sepertimana jangkaan saya pada bulan Mei 2021," katanya lagi.



Tegas Boon Chye, kerajaan perlu mengubah strategi dengan memperbanyakkan ujian saringan ketika proses vaksinasi masih lambat untuk mencapai imuniti kelompok atau pun menyuntik 80% daripada 32 juta penduduk Malaysia.



Hanya dengan pengesanan awal kontak, katanya, boleh menyelamatkan nyawa, terutama menghadapi varian dari Afrika dan India yang tidak menunjukkan simptom awal.


No comments: