Kerajaan Pas telah tiga dekad mentadbir negeri Kelantan sejak
1990an.
Sebelum ini, rakyat dimaklumkan kerajaan pusat menyekat peruntukan
pembangunan di negeri itu yang menyebabkan pembangunan terbantut. Mangsa utama
tentulah industri perbekalan air bersih yang tidak mendapat pembiayaan Kerajaan
Persekutuan.
Namun bagi Ketua Penerangan KEADILAN Kelantan, Zinda Khalil Sastro
Hassan, alasan seperti itu tidak lagi boleh digunakan Pas dalam pilihan raya
umum (PRU) akan datang kerana parti Islam itu telah pun berada dalam Perikatan
Nasional yang memerintah Malaysia
Hal yang perlu dipersoalkan pengundi Kelantan, katanya, mengapakah
Pas tidak membawa peruntukan pembangunan yang besar ke Kelantan, malah dalam
Belanjawan 2021 pun tiada peruntukan khusus memulihkan ekonomi negeri yang
telah ditindas selama 3 dekad.
"Sebelum jadi kerajaan pusat, Pas cakap tiada dana dan
sebagainya dan ini juga satu alasan yang sering kita dengar.
"(Apa yang saya lihat) mindset (corak pemikiran) mereka (Pas)
hanya nak mudah sahaja, tiada idea untuk membangunkan negeri Kelantan. Apa yang
dilihat kalau ada balak, tebang balak, ada tanah jual tanah dan inilah sebabnya
negeri ini tidak membangun" katanya kepada Suara Keadilan.
Zinda meminta kerajaan Pas Kelantan mencontohi kerajaan Pakatan
Harapan (PH) Pulau Pinang, biar pun kerajaan pembangkang namun pemimpinnya
mempunyai idea untuk membangunkan ekonomi.
Apatah lagi, katanya Pas dalam kerajaan pusat dan mudah
menggerakkan pelaburan syarikat asing atau tempatan ke Kelantan bagi membangunkan
ekonomi.
"Kita lihat contoh pembangunan pesat, termasuk pengurusan
ekonomi di Pulau Pinang hari ini. Jelas menunjukkan perubahan pesat selepas
ditadbir oleh Pakatan Harapan tetapi bukan sepertimana di Kelantan,"
katanya lagi.
Sehubungan itu, Zinda menyeru pengundi setia Pas di Kelantan agar
berubah atau 'beralih angin' pada PRU ke 15 kelak.
Katanya, PH mempunyai idea pembangunan yang lebih menarik bagi
memperbaiki ekonomi Kelantan sekiranya diberi peluang memerintah.