Ekonomi digital semakin mengambil alih ekonomi konvensional ketika
era pandemik Covid 19.
Dengan aktiviti pembelian secara atas talian dan berkembangnya
khidmat penghantaran barang ke rumah, maka ekonomi digital akan mengubah
landskap kehidupan secara keseluruhan sedikit masa lagi.
Bagi mantan Naib Presiden KEADILAN, Mustaffa Kamil Ayub, kelewatan
kerajaan Malaysia dalam membina kerangka ekonomi digital akan mempengaruhi daya
saing negara dan dijangka bakal ketinggalan berbanding Singapura atau Indonesia
yang kelihatan berjaya menarik pelaburan asing, berupa pemain-pemain utama
teknologi digital dunia.
Sekiranya kerajaan tidak mampu menyahut cabaran itu, katanya,
pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) boleh memperkenalkan Agenda Ekonomi
Digital Malaysia (AEDM) 2030 bagi dipersembahkan kepada rakyat dan digarap
sebagai dasar negara sekiranya PH terpilih sebagai pemerintah dalam Pilihan
Raya Umum akan datang.
"Hari ini kita berdepan dengan impak Covid 19 yang secara
global merasainya (kelembapan ekonomi).
"Juga dalam masa sama senario teknologi Kecerdasan Buatan
(AI) dan Revolusi Industri (IR) 4.0 telah mengambialih ekonomi konvensional.
"Dalam konteks ekonomi digital ini kita saksikan ia bermula
serba sedikit pada 1996 (di Malaysia) apabila kerajaan melancarkan Multimedia
Super Coridor (MSC) pada 1996.
"Kalau kita saksikan di seluruh dunia pada hari ini ekonomi
digital berkembang pantas. Pada tahun 2020 sebanyak 4.5 bilion penduduk dunia
menggunakan internet dalam kehidupan harian mereka.
"Manakal e-dagang pula dalam konteks dunia pada tahun 2020
berjumlah AS$2 trilion. Dijangkakan pada 2023 e-dagang dunia akan meningkat
kepada AS$ 6.5 trilion. Ini gambaran bagaimana ekonomi digital
berkembang," katanya dalam siaran langsung Facebook Gabungan Reformis
Malaysia, bertajuk: "Agenda Digital Ekonomi Manusiawi 2030",
baru-baru ini.
Katanya, dasar digital yang dilancarkan kerajaan Malaysia hari ini
kelihatan kurang lengkap dan tidak menyentuh isu asas ekonomi digital serta
bagaimana rakyat Malaysia akan menguasai platform digital berkenaan pada
sedekad akan datang.
"Dalam konteks Malaysia pada tahun lepas kerajaan melancarkan
MyDigital yang antara lain menegaskan 6 teras strategi yang telah dibentangkan
oleh Unit Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.
"Kalau kita lihat, mahu tidak mahu ekonomi manusia akan
bergerak sepenuhnya sama ada aktiviti ekonomi mahu pun sosial, sama ada sektor
pengeluaran atau penglibatan teknologi digital oleh peniaga dan kerajaan, akan
berlaku sepenuhnya pada masa depan (tanpa menunggu kerajaan bersedia atau
tidak)," katanya lagi.
Oleh itu, kata Koordinator Gabungan Reformis Malaysia itu
menegaskan, tiba masanya PH merangka satu garapan menyeluruh AEDM 2030 bagi
menyediakan latihan semula kepada rakyat yang mungkin kehilangan pekerjaan,
siswazah yang sukar mendapat pekerjaan juga keseluruhan platform teknologi
digital agar tidak ketinggalan berbanding negara serantau.