Hubungan dengan PPBM: Umno tidak akan beri kata dua pada PAS, kata Ahmad Maslan

 

Ahmad Maslan berkata, hubungan PAS dan Umno bermula lebih awal daripada hubungan PAS dan PPBM dalam Perikatan Nasional.

PETALING JAYA: Umno tidak akan memberikan sebarang kata dua kepada PAS berhubung kerjasama parti itu dengan PPBM, kata Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

Beliau berkata, PAS berhak bekerjasama dengan PPBM dalam Perikatan Nasional (PN).

“Hubungan PAS dan Umno ini sudah bermula lebih awal daripada hubungan PAS dan PPBM dalam PN, tidak ada sebab kenapa kami perlu beri kata dua (kepada PAS),” katanya.

Mengenai soal pembahagian kerusi, Ahmad melihat tiada pertembungan dalam pengagihan kerusi antara Umno dan PAS dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Antara Umno dan PAS, kita harap tidak ada pertembungan, tapi antara Umno dan PPBM, itu kita akan perhatikan dulu.”

Ahmad menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional (MN) di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini, yang antara lain membincangkan agenda pemerkasaan gabungan itu.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ia turut disertai 12 ahli pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Terdahulu, pada sebelah petang, Umno dan PAS turut mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MN yang dipengerusikan bersama Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin dan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

Khaled berkata, mesyuarat berkala itu merupakan cerminan betapa eratnya hubungan kedua-dua parti yang masih berusaha mengukuhkan MN.

“Walaupun macam-macam diperkatakan di luar, tapi hubungan kami (Umno dan PAS), pertemuan kami masih ada dan diteruskan,” katanya.

Sebelum ini, Umno memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PPBM pada PRU15, namun kekal dengan pendirian untuk mengukuhkan kerjasama dengan PAS menerusi MN.

PAS juga mahu memperkasa MN, tetapi pada masa sama, juga ingin memperkukuhkan kerjasama dengan PPBM menerusi PN.