TUGAS TGHH SEPANJANG MEMEGANG DUTA KHAS TIMUR TENGAH
Pada 2 April 2020 yang lalu, Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHH) telah dilantik oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yaasin (TSMY) selaku Duta Khas Timur Tengah. Namun, ia membawa kritikan daripada pelbagai pihak dalam menilai peranan dan prestasi beliau sepanjang menjawat jawatan itu.Tambahan pula, kecoh sehari dua ini yang mempersoalkan kompentasi TGHH selaku Duta Khas dalam memainkan peranan beliau ketika lawatan diplomatik rasmi PM ke Arab Saudi dan UAE.
PERANAN LANTIKAN DIPLOMATIK
Generalisasi masyarakat terhadap skop kerja eksekutif dan lantikan diplomatik telah mengakibatkan kita gagal menanggapi isu ini secara telus. Lantikan diplomatik secara umumnya mempunyai peranan yang berbeza dengan lantikan eksekutif/kabinet kerajaan. Mereka dilantik oleh eksekutif bagi menjalankan kerja-kerja diplomasi seperti rundingan, mengadakan hubungan baik, mempromosi negara, mewakili negara, mengumpul data dll.
Pokoknya, lantikan diplomatik seperti Diplomat, Duta Besar (Ambassador) mahupun Duta Khas (Special Envoy) bukan hanya pergi berjumpa orang kesana-kesini sahaja tetapi mereka juga perlu menjalankan misi yang pelbagai. Disamping itu, mereka bukan badan eksekutif yang boleh keluarkan arahan dan tiba-tiba bertindak mewakili negara sesuka hati, mereka perlu menjalankan misi diplomatik yg diberikan sahaja.
KENAPA DILANTIK
Melantik Duta Khas ini bukan benda yang baru ianya merupakan amalan biasa dalam hubungan antarabangsa. Hatta, Malaysia sendiri pun pernah melantik Duta Khas semenjak 2011 seperti Tun Datuk Seri Utama Samy Vellu Sangalimuthu (India & Asia Selatan), Tan Sri Dato’ Seri Ong Ka Ting (China), Tan Sri Dato’ Seri Jamaluddin Jarjis (Amerika Syarikat).
Tidak cukupkah dengan jawatan seperti PM atau Menteri Luar Negeri untuk kita wakilkan berjumpa dengan wakil negara lain? Kenapa masih perlukan Duta Khas? Untuk dilantik sebagai seorang Duta atau Duta Khas, tidak lain dan tidak bukan kerana anda mempunyai nilai yang tidak dipunyai orang lain.
Diplomasi ini sebenarnya sebuah seni rundingan. Bagaimana kita mahu berunding dengan orang yang kita tidak suka atau tidak kenal? Bukankah rundingan dengan rakan karib berbeza dengan rundingan bersama kenalan baru?
Jesteru, apakah ciri-ciri yang ada pada TGHH sehingga membolehkan dia dilantik sebagai Duta Khas Timur Tengah Malaysia? TGHH yang aktif dalam gerakkan Islam semenjak 70an lagi mempunyai pengalaman dan hubungan luar biasa dengan pemimpin Gerakan Islam. Beliau merupakan mantan Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia serta berpengalaman terlibat dalam rundingan dan komitmen antarabangsa pelbagai seperti rundingan dalam Konflik Mazhab di Yaman pada 2010.
PRESTASI SEMASA DUTA KHAS TIMUR TENGAH
Pada 18 Ogos 2020, YB. Tuan Guru Dato’ Seri telah menyerahkan suatu Laporan Eksekutif kepada YAB Perdana Menteri bertajuk “Situasi Terkini Di Rantau Timur Tengah dan Potensi Kerjasama Antara Malaysia dan Negara-Negara Timur Tengah”. Laporan tersebut disediakan untuk menerangkan situasi terkini politik dan ekonomi di rantau Timur Tengah serta impak-impak terhadap kepentingan Malaysia. Selain itu, ianya juga bertujuan untuk menggariskan peluang kerjasama dalam bidang Agama Islam, Pelaburan, Perdagangan dan Pendidikan, selaras dengan kepercayaan yang dipertanggungjawabkan kepada Duta Khas YAB Perdana Menteri Ke Timur Tengah.
“Saya juga berkongsi hasil pertemuan dengan enam TYT Duta kepada negara-negara Timur Tengah di Malaysia, iaitu Arab Saudi, Yaman, Qatar, Iran, Oman, dan Afganistan, serta beberapa negara lain yang sedang diatur, bagi mendapatkan maklumbalas langsung dan mengeratkan hubungan dua hala melibatkan kerjasama dalam bidang pelaburan, perkongsian pintar dan kestabilan politik. Laporan tersebut mengandungi beberapa syor dan agenda tindakan, khususnya dalam usaha menarik pelaburan dari Timur Tengah pasca COVID-19 yang perlu disegerakan, seterusnya memanfaatkan potensi kerjasama dalam pelbagai bidang demi kebaikan Malaysia, umat Islam dan dunia keseluruhannya”. (Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, 26 Ogos 2020)
TGHH berpendapat bahawa keperluan menarik pelaburan daripada Timur Tengah pasca COVID-19 adalah sesuatu yang sangat mustahak untuk negara dan masa depan negara-negara muslim. Beliau juga ada menyampaikan cadangan kepada Menteri Kewangan (Tengku Zafrul) bahawa untuk menarik pelaburan daripada Timur Tengah, insentif khusus mesti disediakan agar suasana pelaburan yang lebih kondusif dapat dijelmakan.
KESIMPULAN
TGHH sudahpun memainkan peranannya dengan baik selaku Duta Khas apabila berjaya membawa laporan dan saranan alternatif kepada Malaysia dalam merangka dasar luar kita di Timur Tengah melalui laporan rasmi mahupun melalui penulisan artikel beliau.
Pelantikan TGHH juga telah berjaya menarik beberapa individu penting dalam konflik Timur Tengah untuk datang ke Malaysia bagi meneruskan usaha keamanan seperti pemimpin HAMAS.
Pelantikan beliau sebagai Duta Khas ini sekali gus, memberikan keseimbangan dalam proses bagaimana dasar luar negara dirangka dan dijalankan. Peluang diplomasi dan ekonomi dengan negara seperti Turki dan Iran misalnya akan menjadi lebih mudah.
Dikala, negara barat perlu memilih untuk berpihak kepada Arab Saudi atau Iran, Malaysia lebih bijak dalam menguruskan hubungan mereka dengan negara-negara di Timur Tengah dengan tidak berpihak kepada sesiapa. Sudah pastinya ini akan memberi kesan yang positif terhadap kepentingan nasional agar kita mampu mengeksploit peluang ekonomi dan pada masa yang sama mampu membantu memulihkan hubungan negara-negara islam disana.
Muhammad Aiman Roszaimi
Mahasiswa Hubungan Antarabangsa
10 Mac 2021
#PemudaPAS
#MemimpinNegara