PN persekongkolan pemungkir janji, tidak akan berjaya perintah negara

 


Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tertegak atas persekongkolan para pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang memungkiri janji diramal tidak akan berjaya memerintah Malaysia dengan baik.

Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri, persekongkolan para pemungkir janji itu sebenarnya lebih berminat untuk menghalang Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri (PM) dan tidak mempunyai agenda tertentu membela rakyat.

"Kita tahu PN satu gabungan yang tak jelas. Ia lebih berasaskan usaha menghalang Anwar jadi PM seperti mana yang telah dipersetujui di dalam manifesto PH dan telah ditandatangani oleh setiap pimpinan terbabit.

"Lima orang tandatangan dan yang ambil alih jawatan PM sekarang pun, dia tandatangan. Jadi dari situ pun kita dah lihat orang yang memungkiri janji.

"Kemudian beri alasan kita tidak boleh bekerja dengan DAP, mahu wujudkan kerajaan Melayu Islam dan lain-lain. Padahal lebih kepada usaha menghalang proses pelaksanaan janji. Sebab kalau Datuk Seri Anwar naik, maknanya negara kita ini akan mencapai satu tahap yang begitu cemerlang.

"Sebab keyakinan banyak pihak, terutama dari luar negara menantikan detik Anwar menjadi PM. Ini yang dibimbangi mereka, kerana ketegasan Anwar.

"Jadi kalangan mereka yang berkepentingan dalam PH ketika itu, termasuklah bekas timbalan presiden KEADLAN dan beberapa pengikut yang bersama dengannya, yang ada agenda peribadi dan bukan agenda untuk rakyat (memilih melompat)," katanya dalam forum anjuran Gabungan Reformis Malaysia, baru-baru ini.

Ustaz Syamsul turut mengingatkan bahawa PN dibentuk oleh majoriti pihak yang telah ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu.

Termasuk oleh pihak yang hanya berminat bersama BN sewaktu senang seperti Gabungan Politik Sarawak yang mahu bersekongkol dengan pihak yang punya kuasa. Juga Pas, katanya, yang hanya menang 18 daripada 158 kerusi yang dipertandingkan.

Pihak-pihak yang ditolak rakyat ini, menurut ustaz Syamsul, apabila bersekongkol dengan puak munafik untuk membentuk kerajaan pasti tidak diyakini para pelabur dalam negara dan pemodal asing.

"Mereka ini sanggup bersekongkol dengan orang yang memungkiri janji. Dengan orang yang diberi amanah (bekas PH), dia khianat. Kita tahu bagi seorang muslim, orang sengaja mungkiri janji ini ada satu ciri kemunafikan.

"Maknanya orang munafik ini cukup bahaya. Bersekongkol pula dengan orang yang kalah, ditolak oleh rakyat. Mereka bersekongkol kerana nak kuasa.

"Sebab itu setakat ini prestasi kerajaan PN cukup teruk, pelaburan tak ke mana, pelabur dalam negara pun cabut. Apa keyakinan mereka (terhadap kerajaan pada masa hadapan)?

"Sekarang beri alasan, kita dalam suasana perangi Covid 19 tetapi bagaimana menguruskan krisis? Menguruskan masalah itu sesuatu yang (kerajaan PN) tidak boleh fokus kerana sibuk nak menjaga kuasa dan kedudukan," katanya lagi.

Justeru, ustaz Syamsul mengingatkan bahawa PN tidak boleh diundi lagi dalam PRU akan datang kerana pemerintahan itu tidak memperjuangkan suara rakyat tetapi hanya untuk mencipta ruang memanfaatkan agenda peribadi sahaja.