Apakah nasib Parlimen di bawah PN, soal Adun Paloh

 

Oleh B. Suffian

Apakah nasib Parlimen Malaysia sebagai badan tertinggi lagislatif dalam negara, di bawah pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN)?

Itu persoalan dilontarkan Adun Paloh, Sheikh Umar Ali hari ini.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong pada 24 Januari lalu bertitah menasihatkan agar Parlimen boleh diadakan dalam perintah darurat.

Namun kata Sheikh Umar, Menteri PN, Datuk Takiyuddin Hassan pada 3 Mac lalu mendakwa tiada keperluan dewan untuk bersidang ketika ini.

Bahkan, tambahnya, Takiyuddin menyatakan sekali lagi pada 21 Mac mengambil contoh – yang jelas latar belakang berbeza – bahawa dewan tidak bersidang selama dua tahun pada masa darurat 1969.

Semalam pula tambahnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan bahawa proses undi 18 hanya akan terlaksana selepas September 2022 sedangkan Dewan Rakyat serta Dewan Negara pada Julai 2019 telah meluluskan perlaksanaan berkenaan.

“Saya ingin bertanya, apa sudah jadi dengan Parlimen kita? Apakah Parlimen sudah mula hilang fungsi bawah pentadbiran kerajaan PN?

“Hal ini ibarat satu pengkhianatan terbesar terhadap institusi legislatif negara kita. Tindakan seumpama ini akan menghakis demokrasi dan membawa negara kita terkebelakang dimata dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sheikh Umar seterusnya memberi amaran agar Kerajaan PN jangan lacurkan maruah dewan yang mulia Parlimen Malaysia.

“Tindakan menangguhkan perlaksanaan undi 18 juga tidak pro anak muda sama sekali. Ia adalah satu penafian terhadap usaha untuk menyegerakan penglibatan anak muda dalam proses demokrasi negara menerusi pilihan raya,” katanya.