Nailah Huda
Mac 27, 2021
Pada Sabtu, lebih 200 penunjuk perasaan mengadakan Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan bangunan Parlimen bagi meluahkan kekecewaan terhadap SPR yang gagal melaksanakan Undi 18 pada Julai ini. - Foto: MUDA
KUALA LUMPUR: Benarkan anak muda untuk mendaftar sendiri sekiranya pendaftaran pemilih secara automatik berdepan isu teknikal, tegas pengasas bersama Undi 18, Tharma Pillai.
Beliau mencadangkan supaya dua pindaan Perlembagaan Persekutuan iaitu menurunkan had umur mengundi dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak perlu dilaksanakan sekali.
Kita turunkan dulu umur mengundi dan biarkan rakyat berdaftar sebagai pengundi menggunakan sistem sedia ada,” kata Tharma kepada Astro AWANI.
Daripada tiga pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung Undi 18 yang diluluskan pada 2019, hanya satu yang telah dilaksanakan, iaitu penurunan had umur calon bagi kerusi Parlimen kepada 18 tahun.
Pindaan kedua adalah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun manakala pindaan ketiga membabitkan pendaftaran pemilih berusia 18 tahun secara automatik.
“Kalau kita boleh buat satu, apa salahnya kita buat yang kedua dahulu? Seperti yang dikatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat kekangan teknikal untuk pendaftaran pengundi secara automatik.
“Kami bersangka baik dengan SPR. Mungkin mereka telah melakukan kerja dengan sebaik mungkin. Tiada masalah, SPR hanya perlu beri kemas kini berkala mengenai pendaftaran pengundi secara automatik,” ujar Tharma.
Sebelum ini, bekas pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kedua-dua pindaan itu perlu dikuatkuasakan bersekali, bukan satu per satu sekali gus memerlukan masa akibat ketiadaan sistem terperinci untuk mendaftar pengundi secara automatik.
Pada Sabtu, lebih 200 penunjuk perasaan mengadakan Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan bangunan Parlimen bagi meluahkan kekecewaan terhadap SPR yang gagal melaksanakan Undi 18 pada Julai ini.
Dalam satu kenyataan, Sekretariat Himpunan Tuntut Undi 18 menuntut agar SPR dan kerajaan segera melaksanakan penurunan had umur mengundi selewat-lewatnya pada Julai serta mewujudkan ketelusan dalam proses pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.
Mereka juga mendesak supaya perintah Darurat ditamatkan dan Parlimen dibenarkan bersidang semula dengan segera.
“Perhimpunan ini adalah respon awal anak muda kepada keputusan Kerajaan Persekutuan yang tidak serius untuk melaksanakan Undi 18.
“Kami juga mendesak agar Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen beliau terhadap pelaksanaan penurunan umur mengundi Malaysia mengikut garis masa yang telah dijanjikan sebelum ini, dan juga telah diundi oleh beliau selaku Ahli Parlimen,” menurut kenyataan itu.
SPR menjangkakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 hanya dapat dilaksanakan selepas 1 September 2022, 14 bulan lebih lambat berbanding tarikh jangkaan kerana mengalami kekangan akibat COVID-19.