Perlukah 2 tahun bangunkan sistem pendaftaran automatik Undi 18?

 



Alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa sistem Pendaftaran Automatik pengundi berumur 18 tahun baru hendak dibangunkan dan dalam proses memulakan libaturus dengan pemegang taruh amat mengecewakan.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Dr Zaliha Mustafa, alasan sedemikian sukar diterima memandangkan Undi 18 telah diluluskan sejak 2019 lalu, bukannya beberapa bulan lepas.

"Adakah ini membayangkan ketidakcekapan SPR sebagai badan yang bertanggunjawab melaksanakan sistem automatik ini ataukah ia perkara yang sengaja dilengahkan?

"1.2 juta mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun itu bukanlah suatu angka yang kecil. Begitu juga 4.4 juta yang berusia 21 tahun ke atas yang telah layak mengundi dengan sistem pendaftaran kendiri yang ada sekarang, adalah suatu angka yang pastinya boleh menentukan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke15 kelak. Ini suatu penafian hak yang nyata," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas dalih yang ditimbulkan oleh Pas bahawa remaja berumur 18 tahun tidak matang untuk memilih kerajaan maka Undi 18 ditangguhkan, Dr Zaliha menyangkal pendapat itu.

Katanya, banyak perkara dibenarkan dilakukan apabila berumur 18 tahun, termasuk berkahwin yang implikasinya lebih berat berbanding mengundi bagi menentukan kerajaan.

"Tidak timbul masalah mereka tidak matang dalam berfikir kerana dalam banyak suasana, undang-undang membenarkan mereka untuk berkahwin bagi lelaki dan anak-anak perempuan di usia 16 tahun, walaupun kita menentang keras perkawinan di bawah umur.

"Lesen memandu juga dibenarkan di usia 18 tahun, bahkan lesen memandu motosikal boleh dimohon di usia 16 tahun. Lebih sadis lagi ada juga parti politik yang menerima pendaftaran keahlian remaja berusia 13 tahun, hanya selepas mereka menamatkan sekolah rendah, sedangkan pada usia itu kita sepatutnya memberikan mereka pembelajaran dan ilmu pengetahuan yang sewajarnya, bukan disogokkan dengan politik kepartian," katanya lagi.

Sehubungan itu, Dr Zaliha menggesa SPR mempercepatkan usaha membangunkan Sistem Pendaftaran Automatik supaya nama mereka yang berusia 18 - 21 tahun boleh segera dimasukkan ke dalam Daftar Pengundi Induk dan dapat melaksanakan hak sebagai pengundi dalam PRU ke15 yang dijangka akan berlaku dalam masa yang terdekat.

Katanya, walaupun SPR memberi gambaran PRU mungkin berlaku di tahun 2023, genap 5 tahun usia pentadbiran kerajaan namun pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam situasi kerajaan yang tidak stabil.