Setelah diserang bertalu-talu sekian lama oleh UMNO dengan ancaman tidak mahu berkongsi kerusi dengan Bersatu, Muhyiddin Yassin yang selama ini diam membisu akhirnya bersuara juga.
Bukanlah rahsia lagi bahawa sudah ramai pemimpin UMNO bersuara lantang enggan berkongsi kerusi dengan Bersatu, terutama melepaskan kerusi-kerusi yang dimenangi parti itu atas tiket BN, tetapi pemimpinnya kemudian melompat menyertai Bersatu.
Malah, ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pagi tadi, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan turut menyentuh isu yang sama.
Kata beliau, UMNO sama sekali tidak akan melepaskan walau satu kerusi yang dimenanginya pada PRU14 lalu kepada Bersatu.
“UMNO tidak akan memperjudikan mana-mana kerusi UMNO. Kerusi UMNO adalah kerusi UMNO – dulu, kini dan selamanya.
“Ia bukan untuk dilepaskan demi memberi talian hayat kepada mana-mana pihak. Jangan ada yang cuba untuk mengilas tangan UMNO,” tegasnya.
Mengulas sentimen UMNO itu, Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu berkata, jika begitu kehendak UMNO, pihaknya tiada halangan untuk berlawan dengan mereka.
Selain memberi bayangan akan mempertahankan semua kerusi yang dimiliki Bersatu, Muhyiddin juga menyatakan kesediaan partinya untuk bertanding di semua kerusi yang akan ditandingi UMNO.
“Lebih baik UMNO ambil semua 222 kerusi Parlimen. Jika (mereka) menang (dan) bentuk kerajaan, tidak mengapa.
“Tetapi kalau UMNO ambil semua (kerusi), saya (Bersatu) pun hendak ambil semua.
“Satu lawan satu pun boleh, satu lawan dua pun boleh, satu lawan tiga pun boleh… sebab ini politik.
“Tetapi saya tidak mahu sombongkan diri, nanti rakyat marah. Saya faham dengan kenyataan pemimpin UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kerana saya juga pernah ada di situ suatu masa dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa Satu, Bandar Universiti Pagoh di sini.
Muhyiddin yang juga Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak mahu berdebat dan berbincang soal pembahagian kerusi secara terbuka, sebaliknya akan memberi keutamaan kepada hal rakyat terutama soal keperluan asas dan ekonomi.
“Bukan saya tidak boleh berpolitik, bukan saya tak boleh berbahas.
“Sebahagian kehidupan saya merupakan politik. Saya boleh berbahas dengan sesiapa sahaja, namun itu saya elakkan.
“Saya nak elak begitu bukan saya takut tetapi kerana rakyat resah, hidup susah, nak makan tiada duit, makan tidak cukup untuk alas perut.
“Saya tak tahu kenapa parti politik tak prihatin. Ada masalah lain yang perlu diberikan keutamaan.
“Soal pertama ialah menguruskan masalah Covid-19. Soal kedua pula pemberian vaksinasi yang cukup penting dalam menentukan rakyat selamat dan sihat. Seterusnya soal ketiga pula ialah ekonomi,” katanya.
Dengan kenyataan Muhyiddin ini, secara tidak langsung beliau yang selama berdiam diri telah menyahut cabaran UMNO untuk berlawan dengan parti tersebut dalam PRU15 akan datang.
Selain ini menampakkan jalan rundingan telah tertutup, apakah mungkin PRU akan diadakan dalam waktu terdekat di mana ketika ini UMNO sedang berpecah dan berantakan?
(Shahbudindotcom 27/03/2021)