Majlis Penatua (Council of Elders) KEADILAN Sarawak menolak
pendapat Profesor James Chin yang disiarkan Borneo Post baru-baru ini kononnya
parti itu menubuhkan Council of Elders (COE) kerana tidak dapat mencari
pengganti bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Larry Sng yang telah
melompat.
Menurut kenyataan Majlis Penatua, keputusan menubuhkan majlis
tersebut dibuat secara konsensus dan praktikal memandangkan Pilihan Raya Negeri
(PRN) Sarawak semakin hampir dan tiada kena mengena dengan kegagalan mencari
pengganti Larry.
"KEADILAN Sarawak menyangkal dapatan James Chin mengatakan
kami tidak dapat mencari pengganti Larry Sng kerana keputusan untuk menubuhkan
COE adalah secara konsensus. Bermakna KEADILAN Sarawak tidak mementingkan
individu tetapi kumpulan atau team yang akan bekerja berpasukan dan membuat
keputusan secara kolektif.
"Malah, semasa YB Larry Sng mengetuai, keputusan yang dibuat
pun adalah secara kolektif. Maka ini diteruskan sahaja oleh Majlis Penatua.
"Walau bagaimanapun, James Chin mengakui KEADILAN Sarawak
tidak mempunyai cukup masa membina parti sebelum PRN Sarawak. Justeru itu
KEADILAN tidak mahu membuang masa dengan mengadakan pemilihan dan perlantikan
Penerusi MPN tetapi terus bergerak dengan komposisi yang sedia ada tanpa
wujudnya individu pemimpin dilantik sebagai Pengerusi MPN.
"Cukup dengan kepimpinan pemimpin-pemimpin senior dalam COE
yang diketuai Timbalan Pengerusi MPN dan ahli-ahli yang lain untuk memimpin
KEADILAN Sarawak. Apa yang penting adalah KEADILAN terus bergerak sebagai satu
pasukan," kata Majlis Penatua dalam satu kenyataan.
Menurut majlis itu lagi, KEADILAN Sarawak juga menyangkal dapatan
bahawa parti itu berada di dalam kemelut politik baru-baru ini. Sangkalan ini
adalah berlandaskan pemimpin yang keluar parti mempunyai alasan peribadi
tersendiri. Sedangkan di dalam organisasi tidak ada apa-apa pertengkaran atau
perselisihan yangh berlaku sepanjang kepimpinan Larry Sng.
"Malah keputusan beliau untuk meninggalkan parti pun dibawa
berbincang dengan agak panjang lebar sebelum beliau keluar pada 28 Februari
2021," kata kenyataan itu.
Mengenai tempoh berkuatkuasa Majlis Penatua, kenyataan itu
membayangkan hayatnya tidak lama. Majlis ditubuhkan sebagai pentadbir sementara
dan akan dibubarkan pada masa yang sesuai selepas pilihan raya atau pemilihan
parti KEADILAN akan datang. Selepas itu, Pengerusi MPN baharu akan dilantik.
Bagi persiapan PRN pula, KEADILAN Sarawak yakin akan
mempertahankan kerusi-kerusi sedia ada dan mengintai peluang untuk menang
beberapa kerusi baharu.
"Kerusi-kerusi yang telah dimenangi selama ini akan
dipertahankan. Keyakinan ini berlandaskan kepada sokongan rakyat yang bencikan
pengkhianatan dan politik pentingkan diri. Malah KEADILAN Sarawak yakin
menambah kerusi pada PRN akan datang.
"Untuk komen James Chin mengatakan KEADILAN Sarawak tidak
dapat mengalahkan atau “membunuh” (secara politik) pengkhianat, hal itu adalah
terlalu awal.
"Tetapi KEADILAN Sarawak percaya kepada kebijaksanaan
pengundi untuk menilai sama ada pengundi bersetuju dengan perbuatan
pengkianatan atau lompat parti? Masa akan menentukan. KEADILAN Sarawak
menyerahkannya kepada pengundi.
"Apa yang menjadi tumpuan KEADILAN Sarawak dan COE adalah
terus memperjuangkan rakyat Sarawak. Di mana semua Cabang KEADILAN sedang
sedaya upaya membela dan bekerja kuat untuk rakyat yang tertindas selama
ini," kata kenyataan itu lagi.
Buat masa ini, KEADILAN Sarawak giat membantu mangsa-mangsa
banjir, kesukaran penghuni rumah panjang akibat Covid 19 dan musim menyediakan
air minum untuk rakyat menghadapi musim kemarau.