Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail yang didakwa dalam kenyataan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditawarkan RM10 juta menafikan
beberapa perkara yang tidak tepat mengenai kenyataannya.
Menurut Natrah, kebanyakan isu yang tular mengenai cubaan memujuk
beliau menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan datang dari
beliau sendiri, tetapi direkayasa di Facebook dan sebagainya.
"Berita yang menyatakan ada orang datang rumah saya buat
tawaran dan sebagainya itu tak betul.
"Saya pun tak tahu datang dari mana. Ada orang datang rumah
saya. Kawan baik saya tetapi tak ada kaitan dengan apa yang saya buat dalam press
statement dulu pada 4 Mac.
"Ramai orang menghantar kepada saya, mungkin diambil dari FB
dan sebagainya. Seorang Datuk, dia hanya Datuk, bukan Datuk Seri," katanya
seusai sidang media di Hotel Eastin, Petaling Jaya semalam.
Oleh itu, beliau berharap SPRM akan menjalankan tugasnya menyiasat
dengan sebaik-baiknya tanpa mengambil kira kenyataan-kenyataan yang tidak benar
di sekeliling kesnya.
"Saya rasa, saya tidak perlu ulas panjang-panjang perkara ini
sebab saya pun telah beri kenyataan di SPRM Segamat dan segalanya sudah
lengkap.
"Percakapan itu telah saya berikan kepada SPRM dan saya tidak
mahu lagi ada spekulasi. SPRM saya percaya akan menjalankan tanggungjawabnya
dengan baik tanpa prejudis," katanya lagi.