ASEAN perlukan visi baharu, tamatkan krisis Myanmar

 

untitled image



POSTED BY AMIR WRLR

Lima pemimpin dari Asia Tenggara termasuk Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ASEAN supaya membentuk visi baharu bagi menamatkan tindakan tentera membunuh rakyat di Myanmar.



Dalam satu kenyataan, mereka berpendapat walaupun rakyat ASEAN bercita-cita menuju wilayah yang aman dan demokratik yang menghormati hak asasi manusia, kerajaan ASEAN gagal menangani masalah tersebut secara berkesan sehingga berlakunya krisis di Myanmar.



"Sementara penunjuk perasaan pro-demokrasi Myanmar yang berani dibunuh oleh junta tentera, semua kerajaan ASEAN menunjukkan kurangnya kehendak politik dan kesatuan untuk menekan junta tentera untuk menamatkan pembunuhan itu.



"Kejadian di Myanmar menunjukkan, sekali lagi, ketidakmampuan kerajaan ASEAN dalam menangani krisis serantau. Selama beberapa dekad, kerajaan ASEAN secara konsisten gagal melindungi rakyatnya dari satu krisis ke krisis yang lain, termasuk pencemaran jerebu lintas negara, bencana kemanusiaan Rohingya, dan pelbagai pelanggaran hak asasi demokratik dan hak asasi manusia.



"Kerajaan ASEAN sering menggunakan doktrin tidak campur tangan. Doktrin ini mungkin diperlukan pada masa lalu, tetapi ia menjadi penghalang utama pembangunan demokrasi yang bersifat proaktif dan melindungi hak asasi rakyat ASEAN," katanya.



Justeru, mereka menuntut supaya kerajaan ASEAN meninggalkan doktrin lama iaitu tidak campur tangan dan meneruskan pendekatan baharu iaitu penglibatan yang membina dan kritikal, dengan pilihan untuk mengenakan sekatan perdagangan dan ekonomi ke atas junta tentera Myanmar.



"Semua kerajaan di ASEAN harus bersatu dan memberikan mesej yang tegas kepada junta tentera Myanmar untuk segera membebaskan semua tahanan politik, untuk memulihkan keadaan politik di Myanmar seperti sebelum kudeta 1 Februari 2021 dan menghormati suara rakyat pada pilihan raya umum Nov 2020.



"Semua orang yang bertanggungjawab atas pembunuhan orang yang tidak bersalah juga harus didakwa dan dibawa ke muka pengadilan. Kerajaan ASEAN mesti bersatu dan menggantung keanggotaan Myanmar dalam ASEAN dan seterusnya mengenakan sekatan perdagangan dan ekonomi yang disasarkan terhadap junta tentera dan rakan-rakan mereka," katanya.



Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim; Ketua Pembangkang Kemboja, Sam Rainsy; Ahli Parlimen Jakarta Barat dari Indonesia Dr Fadli Zon, Senator dan Pengerusi Majlis Liberal Asia dan Demokrat Filipina, Kiko Pangilinan; bekas ahli Parlimen Singapura, Charles Chong dan bekas Menteri Dalam Negeri Thailand, Kasit Piromya.