Tidak beradap: Kita sokong kerajaan lawan Covid, mereka 'beli' Ahli Parlimen KEADILAN - Johari

 





Tindakan kerajaan Perikatan Nasional yang terus-menerus cuba memujuk Ahli Parlimen KEADILAN menyokong Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai tidak beradap oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.



Apatah lagi, katanya ketika parti pembangkang memberi sokongan penuh kepada kerajaan dalam usaha melawan Covid 19 dan mengurangkan penderitaan rakyat.



"Beberapa Ahli Parlimen telah dihubungi orang tertentu yang mengaku diri mereka bercakap bagi pihak PM atau menteri kanan atau bagi pihak pemerintah memujuk supaya meninggalkan KEADILAN dan memberikan sokongan kepada PM Muhyiddin serta tawaran wang ringgit.



"Ini kita kira tidak beradap, pada waktu kita cuba memberikan sokongan kepada kerajaan dalam usaha menyelesaikan masalah Covid 19 tetapi kerajaan sendiri mengambil sikap membiarkan keadaan mengugut dan memujuk Ahli Parlimen KEADILAN berterusan.



"Dilaporkan 4 Ahli Parlimen dipujuk dan diugut seperti Padang Serai, Sekijang, Putatan dan juga Sungai Siput. Saya difahamkan ada beberapa orang lain. Ini tindakan biadap ketika rakyat menderita, Parlimen tidak bersidang tetapi kerajaan membiarkan benda ini.



"Kalau sekiranya hal ini berterusan ia membuktikan kerajaan desperate, tidak mempunyai jumlah yang cukup untuk memerintah negara," katanya selepas pertemuan Ahli-ahli Parlimen KEADILAN di Hotel Eastin, Petaling Jaya, semalam.



Menurut Johari lagi, pertemuan tersebut jelas memperlihatkan kepada seluruh negara sokongan tidak berbelah bahagi kepada presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas berlakunya pengkhianatan 3 Ahli Parlimen sebelum ini.



Selain itu, kata Johari, Anwar dalam pertemuan itu juga memberi penerangan mengenai hubungan semasa KEADILAN dan parti-parti lain menjelang Pilihan Raya Umum ke 15.



"Kami Ahli Parlimen memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan parti dan kami memberi sokongan kepada presiden Datuk Seri Anwar untuk terus berusaha bagi memastikan bukan sahaja KEADILAN mantap tetapi berikan sokongan agar beliau terus berusaha untuk mendapatkan balik kerajaan ini di samping kita membuat persiapan mengahadapi PRU akan datang.



"Kedua, beliau memberi penerangan kepada kami tentang perbincangan yang lakukan bersama-sama pimpinan, termasuk pimpinan Umno bagi melihat apakah kerjasama yang boleh kita buat bagi membangunkan negara ini.



"Sebab itu beliau menjelaskan bahawa perkara yang dipersetujui pada peringkat awal ini bagaimana kita dapat kembalikan kedudukan ekonomi, terus membina kekuatan agar rakyat mendapat hak mereka dan apa yang termaktub dalam Perlembagaan didukungi bersama," katanya

No comments: