‘Rakyat segera diambil tindakan, menteri bebas langgar undang-undang’

 ‘Rakyat segera diambil tindakan, menteri bebas langgar undang-undang’


Pemuda PKR mempersoalkan layanan berat sebelah diterima menteri Perikatan Nasional (PN) apabila ada di antara mereka bebas melakukan lawatan rasmi sedangkan rakyat diminta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata, pelanggaran SOP dapat dilihat melalui lawatan kerja Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz ke Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi pada 24 Jan yang disertai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.

“Berdasarkan maklumat atau tentatif yang saya terima serta gambar-gambar dimuat naik di Facebook menteri kewangan, aktiviti semasa program tersebut jelas melanggar SOP am PKP yang dikemaskini pada 22 Jan.

“Ia berhubung arahan tidak membenarkan majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta termasuklah aktiviti seperti mesyuarat, bengkel pameran, serta aktiviti lain yang berkaitan,” kata Akmal di Facebook.

Menurut Akmal, pelanggaran SOP secara terbuka oleh menteri lain juga pernah disuarakan sebelum ini, seperti rombongan rentas negeri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali ke Johor pada 17 Jan.

Namun, katanya lagi, situasi yang berbeza dihadapi oleh rakyat biasa.

“Seperti yang berlaku di Segamat, Johor, apabila seorang wanita dikatakan tidak memakai pelitup muka di tempat awam sebaik sahaja turun dari kereta yang diparkir dihadapan kafe (dia) segera disaman, walaupun terdapat bukti melalui kamera litar tertutup (CCTV) bahawa kawasan tersebut lengang,” katanya.

Akmal berkata, ini adalah sebuah pendekatan yang “berat sebelah, dua darjat dan perlu diubah segera”.

“Ketika rakyat segera diambil tindakan, menteri bebas melanggar undang-undang,” katanya.