Apa dah jadi: MITI kata lockdown ekonomi, Pengarah Kesihatan kata tak perlu
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu menyelesaikan pertentangan kenyataan di antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang membayangkan ekonomi akan ditutup selepas 4 Februari sekiranya kes Covid 19 terus tinggi dan kenyataan Pengarah Kesihatan Malaysia bahawa ekonomi tidak akan ditutup.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Aizuddin Ariffin berkata, percanggahan kenyataan seperti itu akan menimbulkan suasana panik dalam kalangan perniagaan dan rakyat awam sekiranya tidak ditangani dengan baik.
“Memetik laporan beberapa media tempatan, melalui satu mesyuarat dalaman antara MITI dan Eurocham dan surat Eurocham kepada ahlinya, penutupan penuh ekonomi bakal dilaksana selepas 4 Februari 2021 jika trend peningkatan kes covid 19 terus berlaku.
“Dalam pada itu Pengarah Kesihatan Malaysia pula menyatakan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 tidak akan disambung selepas 4 Februari dan keyakinan kadar kes jangkitan harian mampu diturun kepada 2 digit menjelang Mei. Bagaimanakah boleh wujudnya percanggahan kenyataan (kontradik) dalam usaha menangani pandemik Covid 19?
“Kerajaan harus mengurus isu ini dengan lebih hati-hati atau usaha untuk menangani dampak ekonomi dan kesan pandemik Covid 19 akan terjejas.
“Saya berpandangan, isu ini harus dipandang serius. Ia boleh menimbulkan panik di kalangan rakyat dan kehilangan keyakinan pelabur ke atas pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Aizuddin lagi, amat penting kerajaan PN tidak mempraktikkan budaya ‘main umum’ sahaja ketika semua pihak sedang tertekan berikutan kadar jangkitan Covid yang tidak melandai dan kemerosotan pertumbuhan ekonomi.
Katanya, dalam hal ini amat penting koordinasi antara kementerian terutamanya dalam mendapat pandangan dan hala tuju daripada KKM sebelum sebarang maklumat disampaikan.
“Oleh itu, saya menuntut penjelasan penuh dan meyakinkan daripada kerajaan untuk mendepani isu ini bagi mengurangkan keresahan rakyat dan juga pelabur,” katanya .