Netizen kecam Azmin, desak gaji menteri dipotong 70% kerana gagal bantu rakyat
Tiada satu komen pun menyokong Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu hantaran di Facebook miliknya semalam.
Orang ramai hanya menghamburkan kecaman dan menganggap Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu sebagai tin kosong ekoran hanya dilihat sekadar ‘sembang’ seolah-olah memahami masalah rakyat selepas setahun pandemik Covid-19 melanda.
Terdahulu, Azmin menulis adalah penting untuk kita sedar bahawa selain kesan terhadap kesihatan dan ekonomi, Covid-19 turut memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Satu orang sahaja hilang mata pencarian akan menjejaskan pendapatan seisi keluarga.
“Hakikatnya, kehilangan pendapatan untuk seorang pencari nafkah akan menjejaskan kehidupan sekurang-kurangnya empat orang yang lain di dalam sesebuah keluarga,” kata bekas pemimpin PKR yang khianat kepada parti dan Pakatan Harapan (PH) menerusi Langkah Sheraton itu.
Selepas 14 jam dimuatnaik lengkap poster tertera gambarnya bersama lambang Jata Negara dari Pejabat Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, kenyataan Azmin hanya mengundang lebih banyak tanda ketawa dan marah serta lebih 400 komentar daripada warganet.
Rata-rata reaksi mengkritik Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak itu dan kerajaan PN termasuk mendesak supaya gaji menteri dipotong sehingga 70 peratus.
Ramai menganggap tindakan Azmin yang kononnya melaungkan soal kehidupan rakyat yang menderita tanda simpati belum cukup menyelami hati rakyat yang terkesan dengan pandemik.
“Gaji menteri kena potong 70 peratus untuk membantu rakyat,” desak Hanafi Japarudin.
Menurut A Nadzir Musa pula pandemik Covid-19 tidak menjejaskan seisi keluarga menteri kerana pendapatan tetap ada walaupun Parlimen digantung berbeza dengan nasib dialami rakyat.
“Gantung sektor ekonomi siapa jadi mangsa? RAKYAT, bukan kau (Azmin). Mata pencarian kau saja tidak terjejas. Nak bantu rakyat apatah lagi. Potong gaji 10 hingga 30 peratus, kau tak nak (lokek@bakhil).
“Tak usahlah kau cakap pasal rakyat jikalau kau pun tak mampu nak membantu rakyat. Apa sumbangan kau terhadap rakyat dikala Covid-19 meresapi di seluruh negeri di Malaysia?” bidasnya lagi. – MD