KUCHING: Anggota Kabinet Sarawak bercadang merayu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menarik balik perisytiharan darurat di negeri itu, jika ia dapat mengawal penularan Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri, James Jemut Masing berkata demikian dalam mesej WhatsApp kepada Bernama, selepas beberapa anggota Kabinet negeri mengadakan “perbincangan tidak formal” mengenai perkara itu.
Katanya, jika rayuan itu dipertimbangkan dengan baik, maka ia akan membuka jalan untuk mengadakan pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) kerana penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berakhir Jun ini.
“Ia dibincangkan secara tidak rasmi dalam kalangan rakan sekerja saya sebagai cara mengadakan PRN12 Sarawak sebelum DUN (penggal DUN Sarawak) berakhir pada Jun 2021, setelah MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Kabinet negeri) (mesyuarat) pada 21.01.21 (Rabu),” menurut mesej itu.
Mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Menteri, Abang Johari Openg di Wisma Bapa Malaysia semalam dan Masing mengesahkan Abang Johari antara mereka terlibat dalam perbincangan tidak rasmi itu.
“Ya, ketua menteri ada di sana (dalam perbincangan tidak rasmi),” kata Masing.
Timbalan ketua menteri itu berkata, arahan mengadakan PRN bergantung kepada kemampuan negeri itu menurunkan jumlah kes baru Covid-19.
“Baginda mengisytiharkan darurat kerana kita masih berdepan pandemik ini dan dengan meletakkan darurat, ia akan menyekat pergerakan orang ramai.
“Tetapi, jika Sarawak dapat melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19, kita mungkin meminta Baginda supaya menarik balik darurat di Sarawak dan kemudian mengadakan pilihan raya ini,” katanya.
Pada 12 Jan lalu, Sultan Abdullah memberi perkenan untuk darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini sebagai langkah proaktif membendung Covid-19 di Malaysia.
Pada hari sama, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menjelaskan Kabinet menasihati Agong mengisytiharkan darurat di bawah Fasal 1 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Fasal 1 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Agong mengisytiharkan darurat apabila wujud keadaan yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam persekutuan atau mana-mana bahagian terancam.
Di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, antara lain, memperuntukkan larangan mengadakan pilihan raya umum, PRN dan pilihan raya kecil serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.