COVID-19: Fasiliti hanya mampu bertahan dua bulan - Pengarah Kesihatan Kelantan
Muhafandi Muhamad
Januari 23, 2021
Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di Kota Bharu kini dijadikan salah satu PKRC di Kelantan. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangkakan fasiliti sedia ada ketika ini hanya mampu bertahan untuk tempoh dua bulan sekiranya kes COVID-19 di negeri ini terus menunjukkan trend peningkatan.
Pengarahnya Datuk Dr Zaini Husin berkata, sejak akhir-akhir ini kes jangkitan baharu di Kelantan menunjukkan lonjakan melebihi angka 100 setiap hari.
Ini menurutnya amat membimbangkan dengan kadar nilai kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 di negeri ini berada pada 1.26, melebihi bacaaan R-naught kebangsaan pada 1.14.
"Sebahagian yang dalam kategori 1 dan 2, yang tidak mempunyai risiko, boleh dikuarantinkan di rumah. Kita hanya fokus kepada mereka yang berisiko di hospital.
"Jadi, itulah strategi-strategi kita dalam memastikan fasiliti kita cukup untuk menangani kes-kes COVID.
"Sebab itu juga, kita wujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk memastikan mereka yang perlu dikuarantin di tempat-tempat ini, kita adakan di sini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Tautan Kasih PKRC Kelantan Musaadah COVID-19 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.