Desak Zahid letak jawatan hakis kepercayaan penyokong Umno, kata penganalisis

 

Penganalisis berkata, desakan supaya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan memberi persepsi negatif terhadap tahap tahap keyakinan akar umbi dan penyokong parti itu.

PETALING JAYA: Penganalisis politik menyifatkan desakan terbuka pemimpin akar umbi Umno supaya Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan sebagai presiden sebagai petanda awal masalah besar bakal berlaku dalam parti Melayu itu.

Bekas ahli akademik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azmi Hassan berkata, walaupun ia datang daripada kumpulan minoriti, namun ia akan memberi persepsi negatif kepada akar umbi dan penyokong Umno berhubung tahap keyakinan terhadap parti.

Beliau mengulas desakan akar umbi Umno ke atas Zahid – terbaharu daripada Umno Paya Besar yang memberi alasan antaranya “lemah ketegasan tindakan”, di sebalik pergolakan dalam parti yang berpaksikan kerjasama Umno dengan PPBM.

Ketuanya, Ahmad Tajuddin Sulaiman mendakwa arah tuju parti yang tidak jelas meluntur daya juang dan kesungguhan ahli Umno.

Namun pada masa yang sama beliau mendakwa ahli Umno tidak nampak “kewajaran mendukung pemimpin yang dipecat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti,”.

Ini dipercayai merujuk kepada pemimpin PPBM.

Bagi Azmi, desakan melepaskan jawatan pada saat parti belum stabil akibat tewas dalam pilihan raya lalu tidak membantu memperkukuhkan kesatuan, sebaliknya melemahkan lagi Umno.

“Pada ketika ini bukan masanya untuk tukar kepimpinan, malah perlu diperkukuhkan sokongan kepada kepimpinan dan parti.

“Dalam keadaan sekarang akan ada pihak ketiga yang mengambil peluang atas kemelut yang melanda Umno,” katanya.

Mengulas tindakan Umno terus menyokong PPBM walaupun pucuk pimpinan berdepan tekanan kuat akar umbi untuk memutuskan hubungan, Azmi berkata, keputusan itu tepat pada saat negara masih dilanda wabak Covid-19.

“Sokongan Umno kepada PPBM adalah keputusan yang betul memandangkan pandemik.

“Keputusan Zahid dianggap betul dan sebab itu juga ahli Umno sepatutnya memberi sokongan, bukannya meminta beliau meletak jawatan.

“Selepas pandemic, mungkin boleh dinilai kembali keputusan yang bakal Zahid buat ketika itu.

“Jika dinilai keputusan Zahid mejalin kerjasama dengan PAS selepas PRU14, maka kali ini keputusan Zahid untuk sokong PPBM juga saya anggap ada hikmahnya,” katanya.

Umno belum membuat keputusan muktamad mengenai hubungannya dengan PPBM dan hanya menyuarakan kehendak akar umbi atau bahagiannya yang mahu isu hubungan itu dibawa ke perhmipunan agung parti untuk penentuan.

Perhimpunan yang dijadualkan pada 31 Jan ditangguh kerana perisytiharan darurat dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Awang Azman Pawi berkata, desakan terhadap Zahid jelas menunjukkan wujudnya pertembungan dan perebutan kuasa dalam Umno.

Awang Azman Pawi.

“Ramai kalangan pemimpin pertengahan dan tertinggi melihat Umno akan kembali dominan dan mampu menguasai politik arus perdana, khususnya jika ia akan memutus hubungan dengan PPBM,” katanya.

Beliau berkata, langkah untuk menyingkirkan presiden Umno lebih baik jika dilakukan menerusi pemilihan parti akan datang.

“Kedudukan Zahid sebagai presiden adalah selaras perlembagaan Umno. Maka tidak wajar mana-mana pihak cuba menangguk di air keruh dengan mendesak beliau mengundur diri. Sebaiknya tunggu pemilihan parti,” kata beliau.

Katanya, sebagai presiden, Zahid mesti berani mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang cuba menggugat kestabilan parti dengan memecat mereka dan melakukan pembersihan dalaman bagi memastikan Umno benar-benar stabil, harmoni serta bebas daripada musuh dalaman .

“Ini penting sebagai persediaan menghadapi PRU ke-15,”katanya.