Kalau tanya sekarang, jumlah mencukupi - Anwar

 

Astro Awani
Kalau tanya sekarang, jumlah mencukupi - Anwar
Anwar tidak menolak khabar angin yang mendakwa beliau menjalinkan kerjasama dengan UMNO.- Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Namun begitu, katanya, beliau kini hanya menunggu ihsan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk beliau menyerahkan maklumat berikutnya kepada Baginda.
“Tetapi yang ternyata sekarang dan tidak boleh disangkal adalah jumlah setakat ini yang menolak pandangan Perikatan Nasional (PN), perkara besar seperti darurat dan penggantungan Parlimen ditolak majoriti ahli Parlimen.
“Sekarang untuk GPS Sarawak juga sedang membincangkan, saya tak tahu apa keputusannya.
“Tentunya kalau ini (majoriti menolak keputusan PN) berlaku, mereka (Ahli Parlimen) yang komited mendokong darurat dan penggantungan Parlimen, jumlahnya mungkin tidak cukup 90 ahli Parlimen atau mungkin kurang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Program Minda Profesor Negara - Bicara Negarawan Siri-3 yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Majlis Profesor Negara pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anwar tidak menolak khabar angin yang mendakwa beliau menjalinkan kerjasama dengan UMNO.
“Sekarang sampai ke tahap dimana kita mempunyai keupayaan, setelah melihat kepada kelemahan dan ketidaktentuan dasar dan kelompok dalam PN, kita mengumpul kekuatan pembangkang dan beberapa elemen dalam kerajaan termasuk UMNO.
“Mereka berasakan negara ini harus diselamatkan. Kalau hendak fikir permusuhan lama, itu tidak ada kesudahannya. Saya boleh bangkitkan kenyataan, ini tidak menenangkan dan saya lemparkan kenyataan balas.
“Tapi keadaan sekarang menuntut kita membuat sesuatu untuk menyelamatkan negara dengan garis dasar yang jelas,” ujarnya.