Sekali PN kalah undi Belanjawan 2021, kerajaan goyang - Dr Azman

 

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu berjaya meluluskan kesemua Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan 2021) yang dibahaskan pada Peringkat Jawatankuasa (kementerian) sekiranya mahu kekal teguh dan berkuasa.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail, sekali sahaja pihak PN gagal meluluskan belanjawan pada Peringkat Jawatankuasa maka hal itu menghantar isyarat kerajaan lemah dan bermasalah.

"Dalam ruang belanjawan kalau berlaku tersungkur (gagal lulus belanjawan) satu kementerian, ia akan membawa kepada satu masalah yang mungkin membuka ruang yang lebih luas (kejatuhan kerajaan).

"Kalau itu tak berlaku, usaha (menukar kerajaan) akan berjalan terus. Sekarang pun untuk membuktikan sokongan padu kepada PN menjadi masalah, tak sampai pun jumlah yang dikehendaki oleh Perlembagaan, iaitu lebih dari separuh (111 Ahli Parlimen). Tak ada," katanya dalam forum bertajuk 'Apa selepas undian Belanjawan 2021' anjuran Gabungan Reformis Malaysia baru-baru ini.

Menurut Dr Azman lagi, Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai peluang luas untuk menubuhkan kerajaan melalui cara menggagalkan undian akhir Belanjawan 2021 pada 17 Disember atau secara Akuan Berkanun selepas sesi Parlimen.

Semua strategi berkenaan disesuaikan mengikut situasi mengambil kira Covid 19, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan belanjawan.

Namun sekiranya hal itu tidak berlaku, kata Dr Azman, Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 mungkin mengambil tempat dan akan diadakan selepas wabak Covid 19 reda.

"Keadaan terburuk ialah mengadakan PRU (tergempar). Ini juga perlu mengambil masa lebih kurang setahun sebab syaratnya jika Covid reda baru boleh buat. Maksudnya kita perlu bersedia pada tahun hadapan.

"Tetapi PRU ini tidak mudah kepada kita dan kepada PN kerana menjadi kerajaan semasa Covid juga sakit, banyak benda perlu dijawab.

"Juga akan ada persefahaman dari parti-parti politik walaupun sekarang ini berada di dalam blok lain. Ruang dan peluang masih ada untuk PH menjadi kuasa dominan dalam politik Malaysia.

"Apa yang kita lihat sekarang kerjasama politik bertambah baik seperti ditunjukkan dalam perbahasan belanjawan. Ini kerana kali pertama parti-parti politik tidak mengira kerajaan atau pembangkang, tidak bersetuju dengan dasar tertentu.

"Mereka memberitahu kerajaan, walaupun kami kerajaan tetapi kami menolak. Hal itu belum pernah terjadi dahulu," katanya.

Oleh yang demikian, Dr Azman menjangkakan lebih banyak penjajaran politik akan berlaku selepas PRU 15. Tidak semenstinya pertandingan akan berlaku sebagaimana 3 PRU lepas, iaitu satu lawan satu di setiap kawasan.