Penyingkiran Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak menunjukkan
Timbalan Presiden Bersatu itu tidak mempunyai sokongan majoriti dalam kerajaan
negeri Perak.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata ia juga mendapat sokongan dari majoriti ahli DUN Perak.
"Ahli DUN Perak menunjukkan semangat kesepakatan dalam menjamin masa depan rakyat dengan menolak Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang gagal mendapat kepercayaan.
"Usul dari ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim yang telah disegerakan membuktikan bahawa kerajaan Faizal tidak ada keabsahan.
"Ketika ini kita dilanda wabak Covid-19 maka jika pilihan raya negeri diadakan ianya hanya akan memudaratkan rakyat. Namun apa yang jelas adalah Faizal telah ditolak di dalam Dewan Undangan Negeri," katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Farhash berkata KEADILAN Perak akan terus memberikan kerjasama dengan kerajaan negeri demi masa depan rakyat.
"KEADILAN Perak menerima keputusan ini dengan baik dan kita akan memberikan kerjasama dengan kerajaan negeri agar fokus kepada kebajikan rakyat tidak terabai.
"Saya juga ingin nasihatkan Faizal untuk bermuhasabah diri setelah ditolak oleh parti komponen sendiri walaupun hanya 9 bulan bersama," katanya.