Dalam politik, sepertimana pertelingkahan yang lain, membalas dendam boleh dikata suatu perkara biasa.
Malah, disebabkan keinginan membalas dendam itulah politik sentiasa kelihatan hidup dan menarik.
Kalah pilihanraya atau kalah bertanding merebut jawatan dalam parti, perbuatan membalas dendam biasanya diteruskan dalam pilihanraya atau pemilihan parti yang seterusnya.
Begitulah lumrahnya, membalas dendam untuk menuntut kembali kekalahan bukan saja berlaku dalam semua parti, bahkan berlaku di seluruh dunia sejak dahulu kala lagi.
Dalam kes Peja yang dijatuhkan UMNO di Perak melalui undi percaya, selain ia memalukan Bersatu dan Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri, kejadian itu mahu tidak mahu sebenarnya menuntut perlunya tindakan balas dendam dilakukan.
Sebagai parti yang menunjangi kerajaan di Pusat, Bersatu tidak harus hanya berdiam diri saja atas apa yang dilakukan UMNO kepada mereka.
Kalau tidak bertindak balas, nampak sangat Bersatu begitu lekeh dan lemah.
Parti yang ternampak lekeh dan lemah, pasti tidak dilihat sebagai wadah perjuangan yang menarik dan mungkin juga tidak mampu untuk bertahan lebih lama.
Lantaran itu, untuk membuktikan kekuasannya dan menunjukkan kepada UMNO bahawa ia bukan parti yang lekeh, Bersatu tiada pilihan lain selain mesti melakukan sesuatu untuk membalas dendam.
Setidak-tidaknya, ada dua cara untuk Bersatu mahu membalas dendam terhadap apa yang telah berlaku di Perak itu.
Pertama, sepertimana yang dicadangkan oleh bekas Menteri Besar Johor, Osman Sapian, Bersatu perlu melakukan gerakan politik yang segera untuk menumbangkan Menteri Besar Johor yang kini dipegang oleh Hasni Mohamad daripada UMNO.
Pada PRU14 lalu, Johor telah jatuh kepada PH dan UMNO hilang kekuasaannya di negeri tersebut.
Tetapi, berikutan tumbangnya PH di Pusat dan berlakunya penjajaran politik setelah Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, Johor antara negeri yang mendapat rahmat dengan UMNO dapat kembali berkuasa di negeri itu.
Antara sebab UMNO dapat berkuasa semula di Johor ialah kerana kemurahan hati Bersatu yang sedia memberi laluan dan sokongan kepada pemimpin parti itu untuk menerajui kerajaan negeri.
Kini, dengan apa yang berlaku di Perak, Bersatu perlu bertindak berani dan menunjukkan kekuasaannya dengan merampas balik teraju negeri itu daripada UMNO.
Hanya dengan cara itu, Bersatu dapat mengajar UMNO untuk menghormati semangat setiakawan, di samping menunjukkan siapa yang sebenarnya paling berkuasa.
Kedua, untuk menunjukkan Bersatu sebenarnya ada “power” dan Muhyiddin benar-benar berkuasa melalui kerajaan PN yang dipimpinnya, beliau harus melantik segera Peja sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Melantik Peja sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan saja sesuai dengan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Bersatu, malah jawatan itu memang selama ini ada kekosongan.
Selain itu, dengan melantik Peja ke jawatan nombor dua tersebut, setidak-tidaknya maruah beliau yang dimalukan UMNO dapat segera dibela.
Yang penting, dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu, UMNO akhirnya terpaksa menghormati Peja kembali setelah menjatuhkan dan memalukannya pada Jumaat lalu.
Bahkan, jika Peja balik ke Perak selepas ini, Menteri Besar Perak daripada UMNO pun terpaksa menyambut dan tunduk hormat kepadanya.
Bak kata budak-budak remaja, baru ada akal dibuatnya!!!
(Shahbudindotcom 05/12/2020)