PRU 15: Anak perantau Kelantan, Terangganu tidak sokong Pas lagi?

 


Prestasi kerajaan Pas di Kelantan dan Terengganu sedang dinilai dengan kritikal oleh anak-anak perantau dari kedua-dua negeri itu yang bekerja di Pantai Barat Semenanjung dan Singapura.

 

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, kemenangan besar sebagaimana dinikmati Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu mungkin tidak akan berulang lagi.

 

Katanya, anak perantau yang biasanya memberi undi penentu di kedua-dua negeri itu kini kritikal kerana pemimpin Pas telah menjadi menteri kerajaan pusat dan sewajarnya membawa kemajuan berganda kepada negeri-negeri tersebut.

 

Namun kemajuan yang diharapkan masih tidak dinikmati oleh rakyat Kelantan dan Terengganu, terutama dari segi peluang pekerjaan bagi memastikan generasi muda mempunyai pekerjaan secukupnya di negeri sendiri.

 

"(Pada PRU 14) anak-anak perantau negeri Pantai Timur memberi undi dan peluang kepada Pas. Mereka gembira kerajaan bertukar tetapi sebenarnya mereka beri peluang yang salah, di mana tak ada perubahan mahupun kemajuan dilakukan (selepas 2 tahun).

 

"Tiada peluang pekerjaan, pendapatan juga masih sama, kos sara hidup tak selesai, isu air pun tak selesai. Akhirnya mereka tersedar dari mimpi dan kecewa dengan Pas.

 

"Barisan Nasional sudah hampakan mereka, Pas juga sama sahaja, hampakan mereka. Kesilapan ini tidak akan diulangi lagi oleh anak perantau (dalam PRU 15)," kata Azan kepada Suara Keadilan.

 

Untuk rekod, Kelantan terkenal dengan kegagalan menyelesaikan isu bekalan air bersih biar pun pemimpin Pas dari negeri itu Tuan Ibrahim Tuan Man diangkat sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air.

 

Manakala isu di Terengganu lebih kepada peluang pekerjaan yang kekal tidak mencukupi biarpun Kerajaan Persekutuan membayar penuh wang royalti petroleum dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion setahun.