Prestasi kerajaan Pas di Kelantan dan
Terengganu sedang dinilai dengan kritikal oleh anak-anak perantau dari
kedua-dua negeri itu yang bekerja di Pantai Barat Semenanjung dan Singapura.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan
Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, kemenangan besar sebagaimana dinikmati
Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu mungkin tidak akan berulang lagi.
Katanya, anak perantau yang biasanya
memberi undi penentu di kedua-dua negeri itu kini kritikal kerana pemimpin Pas
telah menjadi menteri kerajaan pusat dan sewajarnya membawa kemajuan berganda
kepada negeri-negeri tersebut.
Namun kemajuan yang diharapkan masih
tidak dinikmati oleh rakyat Kelantan dan Terengganu, terutama dari segi peluang
pekerjaan bagi memastikan generasi muda mempunyai pekerjaan secukupnya di
negeri sendiri.
"(Pada PRU 14) anak-anak
perantau negeri Pantai Timur memberi undi dan peluang kepada Pas. Mereka
gembira kerajaan bertukar tetapi sebenarnya mereka beri peluang yang salah, di
mana tak ada perubahan mahupun kemajuan dilakukan (selepas 2 tahun).
"Tiada peluang pekerjaan,
pendapatan juga masih sama, kos sara hidup tak selesai, isu air pun tak
selesai. Akhirnya mereka tersedar dari mimpi dan kecewa dengan Pas.
"Barisan Nasional sudah hampakan
mereka, Pas juga sama sahaja, hampakan mereka. Kesilapan ini tidak akan
diulangi lagi oleh anak perantau (dalam PRU 15)," kata Azan kepada Suara
Keadilan.
Untuk rekod, Kelantan terkenal dengan
kegagalan menyelesaikan isu bekalan air bersih biar pun pemimpin Pas dari negeri
itu Tuan Ibrahim Tuan Man diangkat sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air.
Manakala isu di Terengganu lebih kepada peluang pekerjaan yang
kekal tidak mencukupi biarpun Kerajaan Persekutuan membayar penuh wang royalti
petroleum dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion setahun.