Kerajaan
baharu mandat rakyat sekiranya berjaya ditubuhkan diharap akan dapat
menyelesaikan masalah kebajikan golongan veteran tentera yang telah berlarutan
sejak berdekad-dekad lalu.
Aktivis
NGO Pahlawan, Kapten (B) Zulkefly Othman berkata, masalah kebajikan veteran
hanya boleh diselesaikan oleh seorang Perdana Menteri yang benar-benar prihatin
kepada pengorbanan perwira negara itu.
Katanya,
masalah tidak boleh diatasi dengan memberi sedikit sumbangan derma Hari
Pahlawan atau bantuan dari Tabung Angkatan Tentera. Sebaliknya perlukan
perancangan yang khusus mengenai hala tuju masa hadapan golongan terbabit.
"Saya
selaku bekas tentara ingin bawa rintihan veteran yang cukup banyak. Masalah
tanah yang dijanjikan oleh kerajaan tak tertunai.
"Juga
mereka ini ada kepakaran dalam tentera tetapi akhirnya jadi pengawal
keselamatan. Sedangkan ada 21 kor dalam tentera seperti teknikal, kesihatan dan
macam-macam.
"InshaAllah
dengan kerajaan baru Datuk Seri Anwar nanti saya mohon kebajikan tentera
diangkat martabatnya. Kita boleh bangunkan industri pertahanan dalam negara
kerana veteran ini amat berpengalaman. Ini nak baiki kenderaan 3 tan pun
terpaksa beri kepada orang lain, sedangkan veteran ada.
"Saya
juga lihat Tabung Angkatan Tentera dan koperasi tentera mampu memberi bantuan
kewangan kepada veteran. Tetapi kerajaan yang lepas bila kita cadangkan (pelan
meningkatkan kualiti kehidupan veteran) gagal untuk laksanakan," katanya
dalam forum bertajuk 'DSAI PM9, Langkah ke hadapan' di kediaman Menteri Besar
Negeri Sembilan, kelmarin.
Selain
tentera, menurut Zulkefly lagi, kebajikan para reformis turut perlu dibela oleh
kerajaan baharu lewat jasa gerakan itu menghadiahkan 'kemerdekaan kedua' kepada
rakyat Malaysia, bebas dari penjajahan kleptokrasi.
Beliau
mencadangkan agar ditubuhkan Yayasan Reformis Malaysia bagi membela aktivis
reformasi yang semakin lanjut usia.
"Para
reformis seluruh negara telah dinafikan pelbagai peluang yang ada. Jadi kalau
boleh kita tubuhkan Yayasan Reformis Malaysia untuk menjaga kebajikan reformis.
"Mengapa
perlu ada yayasan? Sebab selama 22 tahun saya dapat rungutan dari kawan-kawan,
yang dulu boleh berniaga, punya kepakaran dalam bidang teknikal atau
sebagainya, bila sertai reformasi mereka ini dinafikan kebolehan mereka,"
katanya lagi.
Untuk
itu, Zulkefly mencadangkan agar kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan
memberi sedikit kelonggaran kepada golongan reformis tersebut mendapatkan
projek-projek kecil bagi memperbaiki kedudukan ekonomi mereka.