Insiden suspek penipuan siber, Macau
Scam yang melarikan diri daripada ditahan polis selepas dibebaskan daripada
tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini memalukan
Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Timbul pertanyaan adakah aspek keselamatan
di Malaysia semakin lemah sejak Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin
mengambilalih pentadbiran negara?
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri
KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, kelemahan itu sekiranya berlaku di negara
maju mewajarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin meletak
jawatan
Selain itu, katanya, sindiket Macau
Scam yang didakwa mendapat perlindungan pegawai tinggi polis juga mencemarkan
imej Muhyiddin yang sebelum ini menerajui KDN.
"Hamzah dan Muhyiddin lalai dalam
menjalankan tugas. Benda tidak mustahak (mencatur politik) diberi perhatian.
Dalam kes ini wajar mereka berdua undurkan diri kerana rakyat Malaysia
memerlukan satu kepimpinan yang berkualiti dan berkesan.
"Saya melihat isu-isu yang
berlaku ini menyebabkan terhakisnya kepercayaan orang ramai terhadap institusi
kerajaan. Sekarang makin banyak terjadinya kes-kes yang memalukan negara.
"Soal Macau Scam, kalau tidak
ada dalang dipihak berkuasa tidak mungkin sindiket ini boleh berkembang begitu
besar dan lama.
"Oleh itu, rakyat tidak boleh
menunggu lagi kerana kes-kes jenayah sebegini perlu segera diselesaikan,"
katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Minggu lalu negara digemparkan suspek
utama jenayah Macau Scam berjaya meloloskan diri ketika dibawa ke Ibu Pejabat
SPRM di Putrajaya untuk diserahkan kepada pihak polis bagi menjalani siasatan
lanjut. Suspek dilaporkan memanjat pagar dengan dibantu dua pengawal
peribadinya.
Sehubungan itu, rakyat mengecam tahap
keselamatan di bangunan SPRM dan kelemahan Menteri Dalam Negeri.
Kata Azan, sekiranya pemerintahan
Muhyiddin tidak lagi mampu menangani penjenayah secara berkesan maka seharusnya
beliau menyerahkan kuasa kepada individu yang lebih layak memimpin.
Sewajarnya, kata Azan, Presiden
KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lebih cekap dan efisyen dilantik sebagai
Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah-masalah yang semakin parah melanda
negara.
"Anwar memberi jaminan yang
cukup jelas dari dulu lagi, sejak 1998 sampai sekarang tidak pernah sedikit pun
lari daripada asas untuk membawa negara ke tahap tertinggi kredibilitinya.
"Beliau dari dahulu berjuang
membanteras rasuah, meningkatkan kredibiliti polis dan keupayaan SPRM. Ini
semua reformasi yang dibawa oleh Anwar," katanya.
Menurut Azan lagi, sekiranya Anwar
diberi peluang menjadi PM keadaan tidak akan sama sebagaimana pemerintahan Tun
Mahathir selepas pilihan raya umum 2018 lalu.
Katanya, pentadbiran Tun tidak
membawa reformasi yang dijanjikan. Kemudian kerajaan diambilalih oleh
parti-parti mengadu domba isu Melayu-Islam seperti Umno dan Pas yang
memburukkan lagi keadaan.
"Dr Mahathir memimpin negara
selama 22 bulan tak ada perubahan, sekarang Muhyiddin hampir setahun sama
sahaja. Pas masuk dalam kerajaan pun tidak menyelesaikan masalah, cuma
merumitkan lagi.
"Sebagai contoh di Terengganu
negeri yang dipimpin Pas sepenuhnya tiba-tiba dilaporkan kadar penyalahgunaan
dadah dan penyebaran dadah paling tinggi, apakah semua ini?
"Ini memberi gambaran bahawa
kepimpinan yang ada tidak berkesan dan perlu diganti," katanya lagi.
Tambah Azan, kepimpinan Anwar tidak pernah teruji. Sekarang
adalah masa terbaik untuk rakyat menguji kepimpinan beliau membawa Malaysia
keluar dari kemelut politik, ekonomi dan sosial yang berpanjangan sejak sedekad
lalu.