KEADILAN Sembrong nafi anggota parti keluar beramai-ramai

 


KEADILAN Sembrong menafikan berita kononnya anggota Cabang tersebut keluar secara beramai-ramai sebagaimana dilaporkan akhbar Chinese Press baru-baru ini.

 Menurut Ketua Cabang, Mohd Shahrun Radzi Salehudin, laporan yang menyatakan 87 anggota Cabang dan 45 anggota Angkatan Muda KEADILAN (AMK) meninggalkan parti hanya rekaan semata-mata.

 Katanya, anggota yang keluar terhad kepada 9 orang yang disiarkan media. Sementara, 45 anggota AMK Ranting Kampung Sri Lukut, Kahang didakwa meninggalkan parti tidak berlaku sama sekali kerana keseluruhan anggota di Ranting itu hanya 48 orang.

 "Ketua AMK, Mohd Nasir Salleh mengesahkan dakwaan 45 anggota AMK Ranting berkenaan meninggalkan parti tidak benar.

 "Saya sebagai Ketua Cabang Sembrong juga tidak menerima apa-apa permakluman daripada 87 senarai anggota yang meninggalkan parti itu.

 "Untuk makluman, hanya 9 individu yang tular itu sahaja mengisytihar keluar KEADILAN, selebihnya hanyalah propaganda ke arah mengaibkan KEADILAN Cabang dan AMK," katanya dalam satu kenyataan.

 Sehubungan itu, Mohd Shahrun mengingatkan agar anggota parti tidak melayan sebarang tohmahan yang mahu memburuk-burukkan parti.

 Sebaliknya, kata beliau, usaha mesti difokuskan ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang mungkin akan berlaku dalam waktu terdekat.

 "Oleh yang demikian, saya selaku Ketua Cabang Sembrong memohon agar semua pimpinan di semua peringkat sama ada AMK, Wanita dan anggota-anggota KEAIDILAN seramai 1,371 orang, fokus ke arah memperkuatkan persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan (PRU) dan memastikan kerja-kerja di lapangan berjalan lancar, sekaligus berusaha untuk menawan P153 (Sembrong) dalam PRU15 nanti.

 "Kepada pihak yang cuba mengaibkan KEADILAN Cabang Sembrong, saya doakan saudara-saudara sekalian mendapat petunjuk dan hidayah supaya menjadi masyarakat yang berguna untuk generasi akan datang," katanya lagi.

 Shahrun juga menyarankan anggota KEADILAN kekal berpegang kepada 17 prinsip perjuangan, selain mengenepikan soal remeh-temeh dan fokus kepada naratif perjuangan membawa perubahan serta politik nilai yang sering ditekankan oleh presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.