KEADILAN Sembrong menafikan berita
kononnya anggota Cabang tersebut keluar secara beramai-ramai sebagaimana
dilaporkan akhbar Chinese Press baru-baru ini.
Menurut Ketua Cabang, Mohd Shahrun
Radzi Salehudin, laporan yang menyatakan 87 anggota Cabang dan 45 anggota
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) meninggalkan parti hanya rekaan semata-mata.
Katanya, anggota yang keluar terhad
kepada 9 orang yang disiarkan media. Sementara, 45 anggota AMK Ranting Kampung
Sri Lukut, Kahang didakwa meninggalkan parti tidak berlaku sama sekali kerana
keseluruhan anggota di Ranting itu hanya 48 orang.
"Ketua AMK, Mohd Nasir Salleh
mengesahkan dakwaan 45 anggota AMK Ranting berkenaan meninggalkan parti tidak
benar.
"Saya sebagai Ketua Cabang Sembrong
juga tidak menerima apa-apa permakluman daripada 87 senarai anggota yang
meninggalkan parti itu.
"Untuk makluman, hanya 9
individu yang tular itu sahaja mengisytihar keluar KEADILAN, selebihnya
hanyalah propaganda ke arah mengaibkan KEADILAN Cabang dan AMK," katanya
dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Mohd Shahrun
mengingatkan agar anggota parti tidak melayan sebarang tohmahan yang mahu
memburuk-burukkan parti.
Sebaliknya, kata beliau, usaha mesti
difokuskan ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang mungkin akan berlaku
dalam waktu terdekat.
"Oleh yang demikian, saya selaku
Ketua Cabang Sembrong memohon agar semua pimpinan di semua peringkat sama ada
AMK, Wanita dan anggota-anggota KEAIDILAN seramai 1,371 orang, fokus ke arah
memperkuatkan persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan (PRU) dan
memastikan kerja-kerja di lapangan berjalan lancar, sekaligus berusaha untuk
menawan P153 (Sembrong) dalam PRU15 nanti.
"Kepada pihak yang cuba
mengaibkan KEADILAN Cabang Sembrong, saya doakan saudara-saudara sekalian
mendapat petunjuk dan hidayah supaya menjadi masyarakat yang berguna untuk
generasi akan datang," katanya lagi.
Shahrun juga menyarankan anggota KEADILAN kekal berpegang kepada
17 prinsip perjuangan, selain mengenepikan soal remeh-temeh dan fokus kepada
naratif perjuangan membawa perubahan serta politik nilai yang sering ditekankan
oleh presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.