Menteri Besar Selangor, Datuk
Seri Amirudin Shari mengumumkan beberapa langkah yang diambil kerajaan negeri
bagi memperkemaskan usaha menangani pencemaran negeri sekaligus mengelakkan daripada
gangguan bekalan air berlaku berulang kali.
Beliau berkata, langkah
tersebut perlu diambil setelah berlaku kekerapan gangguan bekalan air di negeri
itu.
"Sebanyak 8 kes berlaku
sepanjang tahun ini dan ada antaranya adalah kejadian berulang. Tempoh antara
April hingga Sept tidak ada kes, mungkin disebabkan PKP.
"Namun Sept dan Okt ada
sehingga 3 kes menyebabkan beberapa loji rawatan terhenti dan bekalan air
terganggu
"Setakat ini, lebih 90
peratus bekalan air telah pulih sepenuhnya dan dijangka esok semua orang dapat
air sepenuhnya.
"Pengurusan Air Selangor
memastikan penghantaran bekalan air dapat dilakukan agar sampai ke rumah
masing-masing," katanya.
Amirudin berkata, langkah
pertama yang diambil kerajaan negeri adalah mempercepatkan proses menyalurkan
bekalan air ke rumah.
"Ini menerusi enerusi
Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Air Selangor iaitu meningkatkan faktor
pencairan dengan mengaktifkan (dilution factor) dengan mengaktifkan Operasi
Pengepaman Air Kolam (Opak).
"Pihak pengurusan juga
mempercepatkan laluan air iaitu menjalankan flushing dengan melepaskan air
empangan Sg Tinggi dan Sg Selangor serta menaikkan 1 River Gate di Baraj
Bestari Jaya.
"Proses nyahbau juga
dipercepatkan di kolam tebatan banjir JPS Sg Gong dengan penggunaan aktif
karbon untuk menghilangkan bau," katanya.
Langkah kedua pula kata
Amirudin, melibatkan proses pemantauan dengan pertambahan pegawai.
"Pemantauan Ops Statik di
Sg Gong diteruskan, malah kerajaan buat keputusan untuk tingkatkan proses
pemantauan terhadap dua lembangan sungai yang sangat kritikal iaitu Sg Langat
dan Sg Selangor dengan penggunaan dron yang berteknologi tinggi.
"Sejak bulan Feb lalu,
proses kawalan 24 jam dibuat namun begitu kawalan memerlukan pertambahan
anggota dan pegawai, justeru kerajaan negeri mengarahkan air selangor dan
pasukan Pantas Luas untuk menambah pegawai dan pegawai kontrak untuk
penguatkuasaan dan pemantauan sungai terbabit.
"Dengan kekerapan terhadap
lawatan bagi satu-satu kawasan bertambah lebih baik dan kita dapat mengesan
lebih awal. Kita juga akan mendirikan pos-pos tertentu untuk mengesan mengkaji
status air di setiap lokaliti dan hotspot bagi memastikan pencemaran dapat
dikesan lebih awal.
"Saya berharap pemantauan
berterusan ini dapat mengurangkan risiko pencemaran disamping mengenal pasti
lebih awal," katanya.
Dari segi penggunaan dron,
Amirudin berkata ia akan membantu kerajaan negeri untuk memantau pencemaran air
secara keseluruhan.
"Kerajaan akan menggunakan
dron bagi memantau secara keseluruhan dan pengendalinya akan memberikan dua
kajian awal berkenaan unsur premis atau bangunan atau apa-apa perkara
berhampiran sungai yang boleh mencemarkan.
"Selepas itu kita akan
membuat proses penguatkuasaan dengan secepat mungkin untuk memastikan
punca-punca potensi pencemaran boleh dikurangkan.
"Kajian itu dilakukan oleh
syarikat dron dan akan disampaikan kepada kerajaan, ia akan mampu mencerap kualiti
dan kuantiti air yang mengalir di sungai.
"Dron ini jangan dilihat
kepada mesin sahaja, tetapi terhadap aplikasi analisa yang mampu dibuat, ia
adalah syarikat nombor 6 terbaik di dunia dan juga beroperasi untuk anak
syarikat negeri dan kerajaan persekutuan.
"Jadi dron itu akan
memantau sehari dua kali dan boleh bergerak sejauh lebih 1,000 km untuk
mengesan penilaian analisis terhadap kandungan air, kita akan adakan demo dalam
masa terdekat mungkin dalam tempoh PKPB untuk lihat keberkesanannya," katanya.
Amirudin turut menyebut
mengenai pelan jangka panjang yang akan dilakukan dalam tempoh satu tahun dari
sekarang iaitu meningkatkan kualiti pengurusan dan rawatan air di loji rawatan
di Selangor.
"Kita akan kenal pasti
dengan teknologi tertentu untuk membuang dan menyahbau di loji rawatan, dan
usaha untuk menyalurkan terus air yang tidak tercemar disamping menyekat air
yang tercemar.
"Sebab apabila air terus
mengalir ke loji rawatan akhirnya tidak ada pilihan selain menutup loji rawatan
tersebut, sudah pasti kos agak tinggi sehingga menelan puluhan juta. Jadi di
peringkat awal insya-Allah, saya akan bentangkan dalam belanjawan negeri nanti,"
katanya.
Secara tidak langsung, kata
Amirudin, ia adalah satu pelan pendekatan menyeluruh yang bermula dengan
masyarakat, kawalan pemantauan, sehinggalah kesediaan loji rawatan menerima air
yang tercemar secara bau.
"Sebenarnya kita mempunyai
off river storage yang mencukupi sekurang-kurangnya tiga hingga lima hari namun
ia masih memerlukan pengepaman dan paip-paip untuk disalurkan terus ke loji
rawatan.
"Pencemaran air melibatkan
perubahan warna, struktur air itu biasanya dapat ditangani di peringkat awal,
aduan sebelum ini lima enam kali berjaya halang dari berlaku.
"Tetapi pencemaran bau
biasanya tidak mempunyai warna, ia berpunca secara organik, mungkin najis,
mungkin kadang-kadang sisa dalam bentuk pelarut, malah dalam kes terbaru ini
dijangkakan bahan pelarut kerana ia tidak berwarna dan baunya sangat tipis.
"Jadi pelan kita adalah
menyediakan kemudahan dan meningkatkan kemampuan loji kita untuk memulihkan
merawat pencemaran bau dalam aspek pengendalian loji rawatan," katanya.