Bernama
Oktober 8, 2020
Demonstrasi secara aman itu bertukar menjadi kecoh selepas cuba disuraikan pihak polis itu. Foto/ AP
JAKARTA: Beberapa siri demonstrasi membantah undang-undang berkaitan tenaga kerja berlangsung di beberapa wilayah di Indonesia hari ini, termasuk di kota Jakarta yang turut mencetuskan rusuhan sehingga merosakkan harta benda awam.
Demonstrasi yang didokong golongan mahasiswa dan Persatuan Buruh Indonesia itu, adalah bagi membantah Undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja yang diluluskan Parlimen Indonesia pada Isnin lepas.Menurut media tempatan, demonstrasi secara aman itu bertukar menjadi kecoh selepas cuba disuraikan pihak polis itu, turut berlaku di beberapa kota lain di Indonesia, antaranya Lampung, Bandung, Tangerang, Makassar, Yogyakarta dan Surabaya.
Demontrasi bermula sejak 10 pagi hingga lewat petang itu, adalah bagi membantah undang-undang berkaitan tenaga kerja itu yang didakwa mengabaikan hak pekerja, antaranya pengurangan kos pampasan terhadap pekerja yang diberhentikan, pengurangan cuti tahunan, pembatalan peraturan gaji minima, dan pindaan berkaitan peraturan pekerja kontrak.
Di Jakarta, beribu penunjuk perasaan itu mengadakan perhimpunan di hadapan Istana Negara, di kawasan Bundaran HE dan kawasan Medan Merdeka di Jakarta, yang bertukar menjadi rusuhan selepas polis bertindak meleraikan perhimpunan itu dengan gas pemedih mata dan semburan air.
Penunjuk perasaan bertindak membakar pondok polis, merosakkan harta benda awam dan bertindak membaling objek batu serta 'molotov coctail', kepada anggota polis.
Ketua Hubungan Masyarakat Polis Metrojaya (Polis Jakarta) Yusri Yunus berkata, sehingga 7 malam ini, hampir seribu ditahan kerana mencetuskan rusuhan dan merosakkan harta benda awam, dan keadaan di beberapa kawasan yang berlaku perhimpunan dan rusuhan itu, telah disuraikan sepenuhnya.
"Mereka yang ditahan ini bukannya mahasiswa atau golongan pekerja, tetapi mereka yang mengganggur, tapi turut serta dalam demonstrasi itu yang kemudiannya sengaja mewujudkan kekacauan," katanya.
Ramai pihak bimbang siri demonstrasi itu akan mencetuskan kluster baharu pandemik COVID-19, ketika Indonesia masih mencatatkan peningkatan tinggi kes positif virus itu.
Setakat data semalam yang disiarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dalam laman twitter rasminya @BNPB_Indonesia, kes positif keseluruhan di republik itu telah meningkat kepada 315,714 kes, manakala jumlah kematian keseluruhan berjumlah 11,472 orang.
-- BERNAMA