Tamatkan kerjasama BN – PN jika membebankan
Sebarang kerjasama politik yang dibentuk harus dengan ada keikhlasan bukannya mendabik dada paling kuat dan paling bersih.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Husin pembentukan kabinet Malaysia tempoh hari jelas dibuat dengan bertujuan untuk mengukuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PBBM) dan melemahkan UMNO.
Kita terima seadanya demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Dalam situasi politik pasca PRN Sabah juga sekali lagi keikhlasan itu tidak ada.
“Bukan sahaja jawatan Ketua Menteri diambil Perikatan Nasional, malah persetujuan awal pembahagian potfolio Menteri juga ubah sesuka hati.
“Apakah satu keikhlasan jika UMNO Sabah terpaksa menunjukkan protes terbuka sebelum PN mengubah semula susunan Kabinet Sabah mengikut persetujuan awal?,” soalnya melalui satu kenyataan dipetik SuaraTV.
Menurutnya lagi Perikatan Nasional (PN) disarankan untuk segera menamatkan kerjasama politik bersama Barisan Nasional (BN) / UMNO sekiranya ia dilihatkan membebankan.
“Lembu dipegang kepada tali, manusia dipeganng pada janji. Dalam masa yang sama hanya kerana pemimpin-pemiimpin Perikatan Nasional tidak berhadapan pendakwaan politik bukan bermakna mereka paling bersih dan tiada sebarang cacat cela.
“UMNO sebuah organisasi siasah besar tidak bergantung kepada mana-mana pemimpin untuk kekal relevan.
“Jika PN merasakan BN adalah satu bebanan politik maka seeloknya mereka membuat keputusan menamatkan kerjasama politik ini,” tegasnya lagi.