Kerajaan BN dan kini Perikatan
Nasional yang memerintah sama ada telah gagal atau sengaja tidak mendidik
rakyat, khususnya kaum Melayu tentang konsep keluasan dan kesyumulan ajaran
Islam.
Bagi mantan Senator Dr Muhammad Nur
Manuty, kerajaan mungkin tidak mahu kaum Melayu mengetahui konsep sebenar
ajaran Islam demi mempertahankan kekuasaan mereka.
Sedangkan katanya, ajaran Islam luas
meliputi konsep hak asasi manusia, kenegaraan, alam sekitar dan lain-lain.
Bukan terhad amal ibadat sahaja.
Oleh kerana kekangan itu, kata Dr
Muhammad, timbullah ungkapan masyarakat Melayu luar bandar, kononnya parti
majmuk seperti KEADILAN tidak pentingkan agama atau mengamal sekularisme.
"Pengalaman saya bertanding di
Parlimen Bagan Serai, Perak, di kawasan parit-parit (luar bandar), ada
pengerusi yang simpati dengan saya, kebetulan dia orang ABIM, katanya, 'Ustaz
Muhammad Nur nanti terangkan perlembagaan parti dan perisytiharan Permatang
Pauh. Kalau boleh bawa ayat Quran dan Hadis sekali.
"Saya tanya pasal apa? Dia kata,
'nanti orang ingat parti ini sama dengan DAP. Sekular tak ada agama'.
"Jadi di sini orang kampung ini tasawur atau world view Islamnya
masih belum meluas meski pun beratus tahun Islam datang ke alam Melayu.
"Umno gagal menerangkan Islam.
NGO-NGO Islam pun gagal. Tasawur Islam Islam
tak sampai," kata Dr Muhammad dalam forum anjuran Gabungan Reformis
Malaysia baru-baru ini.
Menurut bekas Ketua Penerangan
KEADILAN itu, orang Melayu kurang dididik mengenai hak asasi, keadilan
undang-undang atau sistem pemerintahan sebagai sebahagian daripada ajaran
Islam.
Mereka sering menganggap hak asasi
manusia nilai budaya asing dan harus ditentang. Hal ini berlaku, menurut Dr
Muhammad, kerana agensi dakwah kerajaan sendiri gagal menjalankan tugas dengan
sebaik-baiknya.
"Orang Melayu tak hargai hak
asasi manusia. Walaupun Datuk Seri Anwar dan lain-lain tokoh bicara tentang hak
asasi.
"Kalau di bandar Kuala Lumpur,
Ipoh, George Town misalnya orang tengok hak asasi manusia ini seperti Magna
Carta di Engkand. Namun isu hak asasi itu dalam Islam telah ditulis oleh
ulama-ulama besar seperti Qaradawi, Wahba Zuhaili dan tak diketahui oleh masyarakat
kerana JAKIM tidak memainkan peranan walaupun bajetnya besar.
"Tidak dicetak buku-buku kecil
untuk diedar di masjid. Guru takmir (guru membangun masjid) tak ada bahan-bahan
sedemikian. Walaupun (hak asasi) itu dibicarakan dalam Quran, dalam hadis
Rasullullah," katanya lagi.
Bagi bekas Presiden ABIM keempat itu,
tiba masanya muslim di Malaysia didedahkan dengan ilmu pengetahuan yang lebih
terbuka. Konsep hak asasi manusia dalam Islam bukan diambil dari Barat. Malah
Barat yang mempelajari Piagam Madinah dan sebagainya.
"Hak asasi manusia dalam Islam
ada yang bersamaan dengan apa yang ada dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB), walaupun dari segi prinsipnya ada yang membezakan antara Islam dengan
hak asasi PBB seperti kita tak boleh beri kebebasan penuh.
"Tetapi menghormati hak asasi
manusia seperti semua bangsa, agama berhak dapat rumah yang baik, pakaian baik,
hak bersuara, hak berdemonstrasi, hak mendapat pekerjaan baik, hak mendapat air
baik itu diterima dalam Islam.
"Isu hak asasi juga disebut
ulama sebagai satu kewajipan," katanya.
Sehubungan itu, Dr Muhammad Nur menyeru hak assasi, penjagaan
alam sekitar, negara hukum dan lain-lain diajar di institusi pengajian tinggi
sebagai sebahagian daripada ilmu Islam bagi meningkatkan kesedaran rakyat
terhadap kesyumulan agama Islam itu sendiri.