Peristiwa ini berlaku
beberapa bulan lalu sebelum episod pengkhianatan berlaku apabila Tun Mahathir
meminta Muhyiddin mengharamkan UMNO.
Tindakan mengharamkan UMNO adalah strategi akhir Tun Mahathir bilamana beliau
mendapati tidak ramai Ahli Parlimen UMNO menyeberang dan menyertai Bersatu.
Matlamat akhir Tun Mahathir ialah untuk membina Parti Bersatu sebagai pengganti
UMNO.
Muhyiddin bersetuju dan turut menyokong langkah ini. Fail dan dokumen untuk
membatalkan pendaftaran UMNO telah disediakan dan sudah pun berada di atas
mejanya. Hal ini pernah diceritakan oleh Presiden UMNO Zahid Hamidi kepada MKT
UMNO bagi menghalalkan langkahnya untuk berunding dengan Tun Mahathir.
Apabila rancangan untuk mengharamkan UMNO ini diketahui Anwar, beliau bergegas
menemui Muhyiddin dan berhujah menyanggah tindakan itu.
Kata Anwar, UMNO adalah legasi perjuangan Melayu menuntut kemerdekaan yang
turut disertai ibu ayah dan keluarga kita semua. Pengharaman UMNO akan menjadi
satu tragedi hitam yang akan menyayatkan hati seluruh umat Melayu termasuk
Raja-raja Melayu.
Kata Anwar lagi kepada Muhyiddin, jika pengharaman ini berlaku maka Tun
Mahathir dan Pakatan Harapan akan dikutuk oleh orang Melayu dan kita semua akan
dicatat sebagai pengkhianat bangsa.
Hujah Anwar, UMNO tidak berdosa tetapi yang berdosa ialah pemimpinnya.
Sekiranya UMNO diharamkan sudah pasti proses di Mahkamah akan memakan masa dan
kerajaan PH tidak mampu menumpukan seluruh perhatian kepada pembinaan semula
negara yang hampir muflis.
Lebih parah lagi rakyat akan percaya dengan dakyah pembangkang bahawa PH adalah
kuda tunggangan DAP. Pakatan Harapan pasti akan kalah pada PRU akan datang.
Alhamdulillah akhirnya Muhyiddin akur dengan hujah Anwar dan UMNO terselamat
daripada diharamkan.
Bayangkanlah apa yang akan terjadi kepada seluruh ahli-ahli UMNO sekiranya UMNO
berjaya diharamkan?
Yang pasti, tentu sekali pada hari ini tidak akan wujud Perikatan Nasional jika
UMNO diharamkan dan sudah tentulah Muhyiddin tidak akan menjadi Perdana Menteri
ke-8.
Maka Muhyiddin sewajarnya berterima kasih kepada Anwar kerana keikhlasan Anwar
menasihati beliau.
Bahkan seluruh Ahli Parlimen dan ahli Umno juga wajar berterima kasih kepada
Anwar kerana sosok yang pernah difitnah dan diaibkan oleh pemimpin-pemimpin dan
ahli-ahli UMNO inilah yang telah bertindak menyelamatkan UMNO daripada
diharamkan.
Maka, tepuk dada tanyalah hati berfikirlah dengan nurani yang tulus untuk
menilai pengorbanan sebenar antara Anwar Ibrahim dan juga pemimpin politik yang
lain.
Sesungguhnya Ini adalah satu episod hitam yang benar-benar telah meninggalkan
parut yang mendalam dalam sejarah tanah air kita yang tercinta.
“Bijak berpenchak langkah bertukar
Bijak berakal mengawal diri
Adat berhutang kami membayar
Adat berjanji kami tepati”