PRN Sabah: BN, PN terus berantakan


Oleh: Mohd Azuan Ab Rahman

Gabungan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak padu seperti digembar-gemburkan.

Hal ini terbukti di Sabah apabila kedua-dua gabungan itu dilihat ada kemahuan sendiri dan sukar beralah. Keadaaan itu menyebabkan mereka sukar mencapai kata sepakat dalam proses membuat keputusan berkait beberapa perkara.

Perkara pertama yang dapat dilihat ketika menjelang proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 semalam.

Berdasar laporan media, kedua-dua pihak gagal menyelesaikan isu pertindihan kerusi di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Masing-masing mahu meletakkan calon supaya dapat menyaingi satu sama lain dari kedudukan jumlah kerusi yang boleh dimenangi.

Setiakawan Warisan - PH Plus

Perkara itu sudah tentu tidak berlaku dalam gabungan Warisan Plus yang terdiri dari Warisan, KEADILAN, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Dengan semangat setiakawan dan pengalaman sebelum ini, mereka terlebih dahulu memuktamadkan proses pengagihan kerusi dengan baik. Tidak ada mana-mana parti gabungan dalam Warisan Plus tidak diberi ruang untuk bertanding.

Langkah bijak oleh Warisan Plus itu bukan sahaja dapat memastikan tidak berlaku pertindahan kerusi yang menyebabkan rasa tidak puas hati sesama penyokong. Lebih penting, ia sedikit sebanyak dapat membangkitkan rasa yakin di kalangan rakyat Sabah bahawa Warisan Plus merupakan gabungan yang terbaik untuk mentadbir negeri.

Seballiknya BN dan PN serta sekutu mereka dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dilihat saling berebut kerusi.

Malah lebih malang rakan kerjasama mereka, Pas yang sebelum ini mensasarkan 10 kerusi untuk ditandingi langsung tidak diberi peluang meletakkan calon bagi menunjukkan kekuatan mereka.

Bukan setakat itu, ada laporan menyatakan Pas tidak dijemput pada satu program penting yang diadakan rakan mereka di Sabah baru-baru ini.
Di kalangan penyokong parti itu sendiri, mungkin mereka tertanya-tanya apakah begitu caranya PN dan BN melayan rakan gabungan?
Muhyiddin gagal selesai masalah

Sebagai perdana menteri, sudah tentu tanggungjawab berat diletakkan kepada Muhyiddin Yassin. Bagi meredakan isu pengagihan kerusi, Muhyiddin Yassin yang merupakan pengerusi PN dilapor terbang ke Kota Kinabalu bagi meredakan keadaan.

Langkah itu penting supaya imej Muhyiddin tidak tercalar. Namun perbincangan lebih 90 minit bersama lebih 20 pemimpin BN, PN dan PBS di sebuah hotel di Kota Kinabalu sebelum penamaan calon berkesudahan dengan kegagalan.

Walaupun Pengerusi Umno, Dr Zahid Hamidi memberi gambaran keadaan baik-baik belaka namun kenyataan pemimpin PBS dan PBRS adalah sebaliknya.
Timbalan Presiden PBS Radin Malleh dipetik berkata bahawa partinya tegas menuntut 15 kerusi DUN dan tidak mahu menarik calon mereka.

"Sangat tidak mungkin (menarik diri) kerana itu adalah kerusi kami... Pada PRU lalu" kata Timbalan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup pula.

Cari penyakit singkir Rahman, Musa

Isu pengangihan kerusi tidak terhenti setakat itu, ketiadaan beberapa nama pemimpin 'heavy weight' BN dalam PRN kali ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penyokong mereka sendiri. Antara yang tidak dicalonkan ialah Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan.

Tidak dapat dipastikan apakah ketiadaan nama Rahman mempunyai hubung kait dengan kritikannya terhadap pelantikan Bung Mokhtar Radin sebagai pengarah PRN Sabah.

Rahman dalam satu sidang media sebelum ini menyifatkan pelantikan Bung sebagai pengarah pilihan raya BN adalah usaha 'menghina' autonomi negeri dan rakyat Sabah. Ia tegasnya adalah tindakan 'membunuh diri'.

"Meletakkan seorang yang mempunyai masalah peribadi untuk menerajui jentera PRU adalah satu penghinaan kepada rakyat Sabah.

"Tak ada cara lain mengatakan ini dan saya mahu berterus terang," kata ketua Umno Bahagian Tuaran itu dalam satu sidang media pada 19 Ogos lalu.

Sidang media Rahman itu turut dihadiri pemimpin Umno Sabah dari bahagian Putatan, Penampang, Keningau, Beluran, Ranau, Pensiangan, Kota Kinabalu, Kota Belud, Kota Marudu, Batu Sapi dan Sandakan. Lebih mengejutkan bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman juga tidak dinamakan sebagai calon dan menimbulkan bantahan dalam Umno Sabah.

Penyokong Musa kecewa

Musa yang memulakan langkah untuk mengambil pentadbiran negeri dari Shafie Apdal sebelum ini memberi bayangan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) N51 Sungai Manila.

Susulan ketiadaan nama pemimpin berpengaruh itu lebih 20 ketua cawangan Umno tampil mengadakan protes. Mereka dari empat daerah pengundian menolak calon Mokran Ingkat dan menggesa supaya Musa diberikan ruang bertanding di kawasan itu. Namun sehingga tamat proses penamaan calon kelibat Musa Aman tidak kelihatan.

Bung Mokhtar ketika ditanya mengenai ketiadaan nama Musa memberi alasan bahawa bekas ADUN Sibunga itu tidak meminta kerusi berkenaan.

PN, BN bergaduh manifesto

Dalam perkembangan berkaitan, walaupun semua parti dilapor bersetuju menggunakan manifesto sama, keadaan sebaliknya berlaku.

Kenyataan dan tindakan beberapa parti tempatan menggambarkan mereka kurang berminat kepada manifesto PN-BN yang akan diumumkan Zahid Hamidi pada Hari Malaysia yang jatuh pada hari kelima kempen.

PBS difahamkan telah melancarkan manifestonya sendiri yang antara lainnya menjanjikan undang-undang untuk mencegah wakil rakyat berpaling tadah (melompat parti). Mereka berkata akan memeriksa kandungan dokumen 'Aku Janji' tersebut sebelum bersedia menyokongnya.

Calon Ketua Menteri tidak jelas

Kurangnya perancangan dan kesefahaman di antara BN-PN dan rakan gabungan mereka berkecamuk selepas penamaan calon berakhir. Muhyiddin terlebih dahulu cuba menamakan orang kepercayaannya di Sabah, Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri sekiranya mereka dapat merampas negeri dari Warisan Plus.

“Mana nak tahu, kalau rakan-rakan kita di PN, BN pun bersetuju, yang terbaik nak kita tawarkan sebagai calon untuk meminpin negeri Sabah, tidak lain tidak ialah Hajiji," kata Muhyiddin.

Tidak lama selepas cadangan Presiden Bersatu itu disiar media, Presiden Umno, Zahid Hamidi tampil dengan kenyataan seolah-olah menempelak idea mengangkat Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Pengerusi BN itu menegaskan bahawa Barisan Nasional akan memutuskan siapa di kalangan mereka yang layak dilantik.

“Ketua Menteri Sabah hanya akan dipilih oleh Adun BN dan rakan kongsi politik apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” ciapnya di Twitter.

Cadangan Muhyiddin itu turut dikritik beberapa pemimpin muda Umno. Ketua penerangannya, Shahril Sufian Hamdan juga berkata bahawa keputusan tersebut tidak pernah disepakati PN-BN dan rakan sekutu mereka.

“Tidak dibincang dengan BN,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sementara seorang lagi pemimpin parti itu, Armand Azha mengingatkan perdana menteri dari Bersatu itu bahawa menjadi tradisi untuk parti yang mempunyai kemenangan kerusi terbanyak diberikan keutamaan dalam mencadangkan nama bakal ketua menteri.

Berbanding gabungan rapuh PN-BN, Warisan Plus tetap menyatakan kesetiaan kepada Shafie Apdal sebagai calon Ketua Menteri mereka.

Rakyat melihat mereka bukan mahu merebut kuasa, sebaliknya mempertahankan mandat yang diberi kepada Kerajaan Negeri pimpinan Shafie yang cuba dijatuhkan sebelum ini supaya pentadbiran negeri terus lancar.

_________________________________________________________________________________

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi Suara Keadilan