KEADILAN berdepan dengan
pertandingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli pada
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020.
Calon DUN Tamparuli, Alijus
Sipil mendapat tentangan sengit dari tiga calon lain iaitu penyandang kerusi,
Jahid Jahim yang bertanding sebagai calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Denis
George Kian Fah @ Denis Gimpah selaku calon Parti Cinta Sabah (PCS) dan Dr Raymond
Alfred @ Jenry sebagai calon Parti Liberal Demokratik (LDP).
Malah, Alijus merupakan salah
satu calon yang baru pertama kali bertanding dalam pilihan raya berbanding
Jahid yang sudah mempertahankan kerusi itu selama empat penggal.
Namun, di sebalik statusnya
selaku calon underdog, Alijus yakin beliau mempunyai tarikan tersendiri untuk
mendapatkan sokongan pengundi di Tamparuli.
“Orang kata calon baru ini
sekilas pandang adalah underdog, tapi dalam hati ini, saya yakin saya boleh
ambil hati pengundi.
“Penyandang kerusi sudah
menjadi Yang Berhormat Tamparuli sebanyak empat kali dan sudah membuat pelbagai
perkara tetapi saya rasa saya boleh buat lebih banyak dan lebih baik
daripadanya.
“Saya tidak mahu cakap negatif
kepada calon lain, Cuma kalau dipilih, insya-Allah saya akan buat lebih baik,”
katanya kepada Suara KEADILAN.
Kempen Alijus pada hari pertama
di Tamparuli diperkasakan dengan kehadiran Nurul Izzah Anwar yang turut serta
menyantuni rakyat dan berkempen di sekitar pekan, kedai-kedai dan pasaraya bagi
memastikan penduduk kawasan itu mengundi KEADILAN pada hari mengundi nanti.
“Rata-rata penduduk mengenali
saya, mereka bersikap positif dan gembira apabila berjumpa saya.
“Saya membesar di Tamparuli dan
ibu saya merupakan penjaja di pasar dulu menjual beras. Jadi sebab itu apabila
saya memperkenalkan diri sebagai anak kepada penjaja, mereka positif dan ini
memberikan saya semangat untuk meneruskan kempen.
“Banyak juga yang mahu mengundi
dan saya mendapat sambutan yang baik. Ada dari golongan berumur ada juga belia.
“Ini menunjukkan mereka
perlukan pemimpin yang mereka kenal dan mereka beri sokongan dan mahukan
pimpinan baru di Tamparuli,” katanya.
Dalam pada itu, Alijus
mengingatkan kepada semua calon KEADILAN bahawa mereka perlu bekerja sebagai
satu pasukan bagi membantu Warisan Plus memenangi PRN Sabah.
“Sebagai satu pasukan, kita
mempunyai keyakinan untuk memenangi semua kawasan, PRN kali inilah kita boleh
perbaiki keputusan yang diperoleh sebelum ini dan insya-Allah KEADILAN boleh
ambil semua kawasan.
“Kita bukan hanya ketengahkan
calon lama dan berpengalaman tetapi juga calon baru seperti saya dan calon DUN
Inanam, Peto Galim yang datang dari golongan profesional.
“Jadi saya yakin calon yang
diketengahkan boleh mendapat kemenangan di seluruh kawasan. Apa jua kemenangan
akan membawa impak kepada gabungan Warisan Plus,” katanya.
Pada masa sama, Alijus
berpandangan KEADILAN tetap perlu membuktikan keupayaan untuk memenangi kerusi
DUN di PRN Sabah.
“Apa yang penting, kalau mahu
beri sumbanagn, kita kena menangkan parti dulu, kalau 7 kerusi menang semua
besarlah sumbangan kepada Warisan Plus, tapi kalau kurang makin kuranglah
sumbangan.
“Apabila ramai calon KEADILAN
menang, bolehlah kita dapat jawatan penting dalam cabinet dan boleh buat
keputusan di peringkat negeri, bukan hanya mendengar tetapi kita juga boleh
membantu rakyat secara langsung.
“Dalam soal pentadbiran pihak
berkuasa tempatan (PBT), saya cukup arif selaku bekas presiden Majlis Perbandaran
Tawau (MPT), jadi portfolio kerajaan tempatan ini satu perkara yang saya boleh
bantu rakyat Sabah,” katanya.